Friday, January 3, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tip jig cecah ke dasar

    Oleh Raz AS –

    Jigging atau kaedah memancing menggunakan kepingan besi yang dikenali sebagai jig, sememangnya semakin mendapat tempat dalam arena pancing tempatan.

    Sebahagiannya lebih suka menggunakan kaedah ini secara land-based, sebahagian pula lebih suka jigging menggunakan perahu.

    Selalunya kita akan banyak menjumpai jig dalam pelbagai saiz, bentuk dan berat tersedia di kedai-kedai pancing, secara amnya jig terbahagi kepada dua jenis, iaitu slow jig dan fast jig.

    Ini merujuk kepada teknik penggunaan jig tersebut di mana sesuai namanya, slow jig untuk persembahan yang perlahan dan fast jig pula untuk persembahan yang lebih laju.

    Cara membezakan antara fast jig dan slow jig adalah dengan melihat pada bahagian sisinya. Fast jig mempunyai sisi badan yang sama atau simetri pada kedua-dua belahnya, manakala slow jig pula asimetri.

    Selalunya kita akan banyak menjumpai jig dalam pelbagai saiz, bentuk dan berat tersedia di kedai-kedai pancing. – GAMBAR OLEH RAZ AS
    Slow jig digunakan untuk menyasarkan spesies dasar. – GAMBAR OLEH COLBY LESKO

    Sebagai contoh, jika fast jig mempunyai sisi badan yang rata pada kedua-dua belahnya, slow jig pula mempunyai sisi badan yang rata pada satu sisi dan berlekuk pada sisi yang satu lagi. Bentuk badan yang asimetri ini memberikan aksi pada slow jig ketika ia digugurkan.

    Pemilihan berat jig adalah berdasarkan keadaan persekitaran tempat memancing, seperti tahap kedalaman dan kekuatan arus. Namun begitu secara amnya berat jig yang sesuai adalah 1 gram bagi setiap 1 kaki kedalaman air. Sebagai contoh pada kedalaman 60 kaki berat jignya adalah 60 gram.

    Tetapi seperti yang dikatakan tadi ia juga bergantung pada kekuatan arus. Jika arus tidak kuat jig 100 gram boleh digunakan di kawasan berkedalaman 150-200 kaki atau jika sebaliknya memerlukan jig yang lebih berat.

    Sekiranya jig tidak dapat mencecah ke bahagian dasar atau dihanyutkan ketika dijatuhkan, ini bermakna jig yang digunakan terlalu ringan. Ini sangat penting bagi penggunaan slow jig kerana tidak seperti fast jig yang selalunya digunakan untuk menyasarkan spesies palegik yang selalunya berada di tahap kedalaman atas dan pertengahan, slow jig digunakan untuk menyasarkan spesies dasar.

    Meskipun begitu tidak bermakna bahawa slow jig hanya akan disambar oleh spesies dasar sahaja, kadang-kadang spesies palegik turut tidak akan malu-malu untuk menyambar jig jika kena dengan kedalamannya.

    Berbalik kepada perbincangan mengenai jig mencecah dasar, jig perlu berada di kawasan di mana ikan mencari makan, semakin lama ia boleh berada di sana tanpa dihanyutkan semakin bagus. Penanda yang terbaik untuk mengetahui jig berada di keadalaman yang dimahukan selain dengan menggunakan tali berwarna-warni adalah tali pancing turun tegak ke bawah.

    Sekiranya tali tumbang ke tepi atau miring, perhitungan melalui pertukaran warna pada tali tidak dapat digunakan sepenuhnya.

    Selain daripada menambah berat jig, salah satu cara agar jig dapat sampai ke dasar adalah dengan menggunakan tali yang halus. Semakin dalam kawasan tersebut, semakin kuat arusnya semakin kecil diameter tali yang digunakan.

    Sebagai contoh jika tali PE 3 dihanyutkan gunakan tali PE 2 atau berkemungkinan juga jika terlalu dalam dan arus terlalu kuat PE1 boleh digunakan.

    Walaupun secara amnya PE 1 dikatakan mempunyai kekuatan 10lb, PE 2 bersamaan dengan 20lb dan seterusnya tetapi kebanyakan tali terutama yang berkualiti mempunyai tahap kekuatan yang jauh melebihi ratingnya sendiri.

    Oleh itu pemancing tidak perlu terlalu khuatir kekuatan tali tidak mencukupi, tinggal sahaja memadankan ia dengan tali perambut yang berpatutan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda