Tip kreatif ceriakan laman rumah

CHARLESTON, W. VA. – Batas bunga sudah siap, sayur-sayuran tumbuh dengan baik, namun mungkin ada sesuatu yang tidak kena ataupun hilang dari landskap belakang laman anda iaitu Faktor ‘sensasi’.

Menambah sentuhan peribadi kepada halaman rumput dan taman rumah anda tidak perlu merumitkan atau pun menjejaskan bajet keluarga. Tuan rumah boleh mengubah landskap yang nampak biasa dengan beberapa imaginasi kreatif, reka bentuk dan mungkin sedikit bantuan daripada perkhidmatan lanjutan pertanian tempatan, profesional landskap atau perkhidmatan tapak semaian persendirian.

“Sesebuah taman tidak siap sebenarnya,” kata Jonathan M. Lehrer, pengerusi Jabatan Hortikultur dan Reka Bentuk Bandar di Kolej Negeri Farmingdale di Long Island, New York. “Kadang kala perkara yang paling sukar dilakukan adalah mengambil keputusan yang berisiko dan memutuskan anda akan membangunkan sesuatu kawasan atau memulakan satu projek.”

Beberapa idea yang boleh digunakan oleh pekebun untuk memperindah dan menyerikan lagi taman mereka:

Langkah permulaan

Pergola, junjung, kekisi – malah tiang dengan jaringan yang menutup mereka – pastinya akan menarik perhatian, lebih-lebih lagi di pintu masuk sesebuah laman. Ia juga menambah ketinggian di mana pemilik rumah hanya memikirkan mengenai panjang dan lebar, kata Lehrer.

Seekor burung madu dan lebah mendebungakan bunga di Taman Terapeutik Veteran di Caldwell, Idaho. – AP
Gambar dikeluarkan oleh Martha Benedict, kelihatan bangku di sekeliling sebatang pokok dan batas bunga dan sayur, semuanya dibina oleh pereka landskap Katharine Pinney daripada aram-aram dibuang, di taman sebuah rumah di La Canada, California. – AP
Tembok taman kelihatan di sebuah rumah di Altadena, California. – AP

Menambah bunga klematis, bunga mawar yang merayap atau bebuas bukit di pergola atau junjung akan memberikan tempoh masa yang lama semasa ia berbunga.

Pergola yang dihiasi dengan lampu juga boleh menambah ciri estetik ruang taman dan mewujudkan pemandangan yang tidak hanya terbatas dalam taman, justeru mengundang orang untuk meluangkan lebih banyak masa meninjau atau melihat sekitar taman, kata Katharine Pinney, seorang kontraktor dan pereka landskap di Los Angeles.

“Gunakan mereka untuk memimpin pelawat anda menerusi taman anda,” kata Pinney.

Jalan menuju kejayaan

Satu jalan atau lorong dengan sungkup, batu kelikir, bata, batu turap ataupun batu ubin akan mendorong pe-lawat untuk bersiar-siar sekitar taman.

Pinney berkata lebih ringkas lorong atau jalan, lebih baik. Namun Lehrer mencadangkan supaya mengelak jalan yang lurus, linear.

“Cuba gunakan lebih banyak selekoh, liku dan pusingan kerana ia menambah ilusi jalan yang lebih panjang berbanding sebenarnya, mewujudkan perasaan misteri mengenai apa yang ada di selekoh seterusnya,” kata beliau.

Pinney berkata pilihan batu turap harus mencerminkan gaya seni bina rumah. Namun mencampurkan bahan-bahan, seperti bata dan batu ubin akan menambah tarikan kepada ciri-ciri penglihatan atau visual.

“Pendeknya, gunakan imaginasi anda!” kata Pinney.

Meletakkan pasu berhias yang dipenuhi dengan bunga di sepanjang akan mewujudkan titik fokus dan menambah warna dan keceriaan taman.

Tempat berehat

Bangku dan meja merupakan satu kemestian untuk pemilik rumah yang ingin menjadikan taman atau halaman mereka tempat melepak. Memiliki ruang terhad tidak harus menjadi penghalang.

Pinney berkata beliau mereka pelbagai taman kecil disebabkan rumah banglo lama di kawasannya mempunyai tanah yang sempit.

“Membahagikan ruang yang sempit berkenaan kepada bilik membuat taman anda kelihatan lebih besar,” katanya.

Pinney dan Lehrer mencadangkan membina unggun api, kawasan memasak atau satu tempat untuk menjamu makanan atau menikmati kopi pada waktu pagi.

Bersifat peribadi

Pinney mencadangkan supaya menggabungkan benda-benda yang mencerminkan personaliti tuan rumah.

Salah seorang pelanggannya suka berhibur dan mengadakan sesi santai bersama kawannya. Pinney berkata beliau menanam pokok anggur untuk pelanggan dan menggunakan botol lama daripada restoran untuk menyempadani jalan di taman.

Bata lama daripada banglo seorang pelanggan lain pada 1920 digabungkan menjadi sempadan ‘hamparan’ luar rumah.

“Seorang tuan rumah harus memikirkan mengenai apa yang akan menjadikan taman mereka satu imej personaliti dan minat mereka,” kata Pinney.

Disebabkan pandemik koronavirus, Lehrer menambah, “Saya melihat orang tidak akan mengunjungi pantai. “Maka mereka mewujudkan kawasan kolam, menambah lampu dan tanglung percutian yang tidak mahal serta membawa muzik ke kawasan luar rumah.”

Kayu binaan!

Kayu landskap boleh mewujudkan tembok bertingkat dan tangga untuk menghubungkan tingkat ketinggian kawasan belakang rumah sementara mewujudkan lebih banyak batas untuk penanaman di antara mereka. Mereka juga hebat untuk mewujudkan tanaman individu. Kayu boleh diperoleh dalam jenis semula jadi dan sintetik.

Pinney berkata kayu gergaji yang sudah diproses dipasang dengan skru kayu adalah paling baik untuk teres, tetapi bukan untuk taman sayuran.

Pilih pokok

Bergantung pada iklim dan cahaya mata hari, fikirkan untuk menanam pokok-pokok kecil di sepanjang tepi taman.

Pokok lilac Jepun memberikan warna musim panas yang terang. Pokok dengan musim bunga berkembangan termasuk pokok merah, pokok beri, pokok epal masa, pir dan magnolia. Untuk mendapatkan bunga paling awal, fikirkan untuk menanam pokok ‘forsythia.’

Untuk iklim utara, Lehrer mencadangkan pokok ceri cornelia. Ia mempunyai bunga warna kuning pada musim bunga dan buah seperti ceri merah pada akhir musim panas dan awal musim luruh. Daun-daun akan bertukar kepada warna merah dan jingga pada musim luruh, dan tatkala pokok menjadi semakin tua, kulit luar akan mengopek, mendedahkan warna jingga-keperangan.

“Ia merupakan tumbuhan empat musim yang amat bertahan,” kata beliau.

Sahabat bersayap

Satu bonus taman yang besar adalah kunjungan daripada rama-rama atau burung madu. Tumbuhan yang menghasilkan nektar dan debunga boleh menarik perhatian mereka.

Taman Kanak-Kanak 4-H di Universiti Negeri Michigan memasukkan sebuah rumah kupu-kupu yang dibuka pada musim bunga. Penyelaras pendidikan Jessica Wright berkata menarik rama-rama bermakna mempunyai tumbuhan yang serasi untuk ulat bulu sebagai permulaan. Mereka termasuklah jintan, pasli dan ‘milkweed’ iaitu sejenis tanaman herba yang mengeluarkan sap susu yang menarik rama-rama. Tumbuhan berbunga lain boleh bertindak sebagai tarikan rama-rama.

Di antara tumbuhan yang menarik burung madu adalah bunga kardinal, bunga berbentuk jantung dan petunia. Kedua-dua burung madu dan kupu-kupu tertarik kepada pokok pudina, lilac dan bunga daisi. Burung dan rama-rama memerlukan air, maka fikirkan menambah botol makanan atau mandian burung.

“Interaksi dengan alam semula jadi merupakan fenomena luar biasa,” kata Wright.

“Seronok rasanya melihat mereka juga menyukai taman anda.” – AP