Saturday, October 5, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tip lindungi kereta daripada pencuri kenderaan tanpa kunci

    LONDON — Seperti hantu pada waktu malam, mereka berdiri di luar rumah awda, salah seorang memegang antena manakala seorang lagi membongkok di sebelah kereta yang diletakkan di laluan masuk.

    Dalam beberapa saat, kereta awda hilang, sekali gus menjadi mangsa terbaharu di tengah-tengah lonjakan kecurian kereta yang disebabkan oleh teknologi yang direka untuk memudahkan pemandu membuka kunci dan menghidupkan kenderaan.

    Teknologi auto telah berkembang dan banyak kereta baharu menggunakan kunci fob tanpa wayar dan pemula butang tekan berbanding kunci logam tradisional.

    Kunci fob menghantar isyarat jarak pendek, jadi apabila pemandu menghampiri kereta, ia secara automatik membuka kunci pintu. Ini memudahkan kerja awda daripada kesulitan untuk mengeluarkan kunci kereta apabila tangan awda sudah penuh dengan barangan runcit.

    Namun, teknologi itu juga memudahkan pencuri. Kunci fob tanpa wayar akan terus mengeluarkan isyarat walaupun awda tidak menggunakannya.

    Sgt Anthony Walsh daripada Jabatan Polis Metropolitan menunjukkan kunci stereng kereta pada acara antijenayah di Washington pada 7 November 2023. – AP
    Kunci fizikal yang diletakkan pada stereng boleh bertindak sebagai penghalang kepada pencuri kereta. – Sunday Times Driving
    Seorang lelaki berjalan melalui tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah pada 8 Disember 2016 di King of Prussia, Pennsylvania. – AP

    Pencuri berkeliaran di kawasan kejiranan pada waktu malam mencari kereta yang diletakkan di luar supaya mereka boleh melakukan apa yang dipanggil sebagai serangan berganti-ganti.

    Menggunakan peralatan mudah alih yang dapat mengesan isyarat lemah dari kunci fob di dalam rumah atau tempat letak kereta, mereka menyambungkan isyarat tersebut kepada pemancar yang boleh meniru isyarat itu.

    Pihak berkuasa telah menggesa pembuat kereta untuk mengurangkan kelemahan keselamatan dan memberikan amaran kepada pemilik tentang risiko tersebut.

    Jadi apakah yang boleh awda lakukan untuk mengurangkan kemungkinan kereta awda hilang dalam masa 60 saat? “Agak mudah bagi pemandu untuk melindungi diri mereka sendiri,” kata Steve Launchbury, jurutera utama keselamatan automotif di Thatcham Research, sebuah syarikat risiko automotif yang berpangkalan di UK. Berikut adalah beberapa petua:

    GUNAKAN PENGHALANG ISYARAT

    Cara yang mudah tetapi berkesan untuk menghentikan penyamun kereta daripada menangkap isyarat kunci fob awda adalah dengan menggunakan beg atau kantung Faraday.

    Ia dilapisi dengan jaring logam konduktif yang menghalang penghantaran isyarat elektromagnet.

    Beg berkenaan tidak mahal, dan awda juga boleh mendapatkan kotak yang mempunyai fungsi yang sama.

    Tetapi pakar menasihatkan untuk menguji bagi memastikan ia berfungsi. Hanya letakkan kunci fob di dalamnya dan dekati kereta awda.

    Jika kunci pintu tidak terbuka secara automatik, maka isyarat itu sedang disekat.

    Adalah penting untuk diingat supaya menggunakan beg tersebut apabila awda meninggalkan kenderaan awda, dan jangan lupa untuk meletakkan semua kunci fob awda di dalamnya, termasuk sebarang kunci pendua.

    Tetapi abaikan beberapa nasihat yang berlegar di Internet yang memberitahu awda untuk meletakkan kunci fob awda di dalam ketuhar gelombang mikro atau peti sejuk beku.

    Ia tidak mempunyai kesan yang sama seperti beg Faraday, dan awda berisiko merosakkan kunci awda.

    DAPATKAN KUNCI CARA LAMA

    Cuba penyelesaian lama dengan menggunakan ibu kunci (padlock) fizikal. Sesetengah pasukan polis menasihatkan pemilik kereta untuk menggunakannya bagi menjadikan kenderaan awda kelihatan kurang menarik untuk dicuri.

    Alasannya ialah niat pencuri tersebut mungkin akan terhalang oleh usaha yang diperlukan untuk memotong ibu kunci tersebut dan sebaliknya mengalihkan perhatian mereka kepada sasaran yang lebih mudah.

    Ibu kunci, dalam bentuk bulat atau palang panjang, diapit pada stereng dan membuatnya sukar untuk dikemudi.

    Terdapat juga versi yang menghalang kereta daripada dimasukkan ke dalam gear.

    Keburukannya ialah awda memerlukan masa tambahan untuk memasang atau menanggalkannya setiap kali awda tidak memandu.

    TUKAR PENETAPAN AWDA

    Untuk kebanyakan kereta, awda boleh menyahaktifkan penetapan tanpa wayar supaya awda tidak boleh membuka pintu dari jauh. Untuk Ford, Honda dan Audi, gunakan menu skrin sentuh.

    Jika awda memiliki Toyota, awda boleh menyahaktifkan isyarat buat sementara waktu dengan menekan butang kunci fob dan pada masa yang sama menekan butang buka kunci dua kali.

    Jika awda melakukannya dengan betul, lampu penunjuk fob harus berkelip empat kali.

    Perlu diingat bahawa apabila awda menekan mana-mana butang seterusnya, pembukaan kunci jarak jauh akan diaktifkan semula.

    Kaedahnya adalah berbeza-beza bergantung kepada jenama dan model, jadi sila rujuk manual pemilik awda untuk proses yang tepat.

    Jika ia kedengaran rumit, terdapat video YouTube yang boleh membimbing awda melakukannya.

    Jangan lupa bahawa dalam kebanyakan kes, awda kini perlu menekan butang buka kunci fob secara manual.

    Pengeluar kereta telah mula menambahkan sensor pergerakan pada kunci fob. Jika sensor tidak mengesan pergerakan terkini kerana ia telah, misalnya, ditinggalkan di kaunter dapur setelah awda pulang, kunci fob akan masuk ke mod tidur dan berhenti menghantar isyarat.

    Jika ia tidak mempunyai keupayaan ini, semak dengan pengedar awda sama ada ia boleh untuk dinaik taraf.

    Jika awda membeli kereta terpakai, sesetengah pakar juga menasihatkan supaya kunci diprogramkan semula, manalah tahu sekiranya pemilik sebelumnya menyimpan salah satu kunci fob.

    BERHATI-HATI DENGAN KAEDAH BAHARU

    Penyelidik telah menemui teknik kecurian kereta baharu yang tidak menyasarkan isyarat radio.

    Rangkaian kawasan pengawal, atau CAN, ialah ‘ciri kereta moden yang membolehkan komponen dan sistem berbeza berkomunikasi, (dan) baru-baru ini telah disasarkan dan dieksploitasi oleh pencuri’, kata Launchbury dari Thatcham Research.

    Rangkaian tersebut membolehkan sensor dan modul kawalan berkomunikasi antara satu sama lain secara langsung, bukannya melalui nod pusat.

    Pencuri mengambil kesempatan dengan mengakses rangkaian dari luar kereta, biasanya dengan menanggalkan lampu depan dan menyambungkan peranti yang boleh ‘menyuntik’ isyarat, memperdayakan kereta untuk membuka kunci dan menghidupkannya.

    Walaupun pengeluar kereta berusaha untuk meningkatkan keselamatan CAN, ‘terdapat langkah-langkah yang boleh diambil oleh pemandu hari ini untuk menambah lapisan keselamatan dan menghalang penjenayah’, seperti menggunakan kunci fizikal, kata Launchbury.

    Sistem elektronik immobilizer aftermarket ‘sepatutnya menjadikan alat kecurian penjenayah tidak berguna’, malah mungkin juga membolehkan awda mendapat diskaun untuk insurans kereta, katanya. Thatcham Research dan syarikat lain menawarkannya tetapi kelemahannya ialah harganya agak mahal. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda