Oleh Raz AS –
Ikan belida atau juga dikenali sebagai knife fish merupakan spesies ikan air tawar yang mempunyai bentuk badan unik seakan-akan bilah pisau.
Boleh ditemui di Amerika Tengah dan Selatan, Afrika dan Asia Tenggara, ikan belida mempunyai kebolehan unik untuk menjana dan menerima caj elektrik untuk tujuan navigasi, komunikasi dan mengesan mangsanya.
Ikan ini menjadikan kawasan sungai dan tasik sebagai habitat utama, daripada yang berarus deras hinggalah yang perlahan. Meskipun merupakan spesies ikan air tawar namun beberapa jenis ikan belida akan meluangkan sebahagian masanya di kawasan air bahal (brackish).
Ikan yang mampu memberikan pertarungan sengit dan seronok kepada pemancing ini turut menarik banyak minat daripada komuniti penggemar hobi akuarium. Walau bagaimanapun ia tidak sesuai dipelihara oleh peminat yang baru berkecimpung dalam dunia hobi akuarium disebabkan saiznya yang besar dan memerlukan pemakanan yang khusus.
Ikan belida yang tidak bersisik sangat sensitif terhadap kondisi air yang teruk.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/03/P17-Lead-Tip_09032024.jpg)
Kualiti airnya perlu sentiasa di tahap yang maksimum di mana tiada amonia dan nitrit dikesan di dalamnya, manakala kiraan nitratnya pula di bawah 20 ppm.
Kiraan pH air pula perlulah di antara 7 dan 8 dengan tahap kealkalian di antara 90 ppm dan 180 ppm, sementara suhu air di tahap 24 ke 26 darjah celcius.
Ikan ini juga sensitif terhadap ubat-ubatan, oleh yang demikian untuk menghindari penyakit, penggunaan sistem pensterilan UV adalah lebih disyorkan berbanding penggunaan ubat berasaskan kimia.
Sistem penapisan perlu dipastikan sentiasa berfungsi sebaiknya dan penukaran 10 peratus air akuarium perlu dilakukan sekali dalam seminggu.
Disebabkan saiznya dan jangka hidupnya yang lama, pelan jangka panjang perlu disediakan sebelum mengambil keputusan untuk membela ikan belida.
Ikan belida memerlukan akuarium bersaiz tidak kurang daripada 8 kaki panjang, semakin besar saiz akuarium tersebut semakin bagus dan perlu sentiasa dalam keadaan tertutup agar ia tidak melompat keluar dari akuarium.
Kebanyakan jenis ikan belida bersifat nokturnal dan pemalu apabila mula-mula dimasukkan ke dalam akuarium, namun setelah ia selesa dengan keadaan sekelilingnya ia akan lebih mudah aktif pada waktu siang terutama ketika waktu makan.
Ikan belida juga bersifat territorial dan agresif terhadap sesama sendiri atau spesies seumpamanya, oleh itu ia hanya sesuai ditempatkan bersama spesies ikan lain yang tidak agresif dan cukup besar agar tidak dimakan oleh ikan belida.
Selain diberi makan dengan makanan pellet dan kering, ikan belida juga sekali-sekala diberi makan dengan makanan segar seperti krustasea, cacing, serangga dan ikan kecil.
Namun elakkan daripada memberi makan ikan emas yang dijual sebagai makanan atau feeder fish kerana ikan tersebut berkemungkinan boleh membawa penyakit kepada ikan belida.