Memancing bukan lagi hobi tetapi juga turut dikenali sebagai mata pencarian. Bagi mereka yang menjadikan rod dan reel sebagai kawan pada masa terluang memancing, turut menjadikan aktiviti itu sebagai sumber rezeki mereka.
Berbanding mereka yang menjadikan tali pancing dan umpan sebagai teman seharian, mereka menjadikan memancing itu sebagai sumber rezeki harian. Bagi penggemar atau ‘otai-otai’ memancing, aspek pencarian lubuk atau kawasan yang selalu menjadi ‘port’ sering bermain di fikiran mereka dan sudah sebati dengan pengalaman yang diperolehi sebelum ini.
Ikan siakap, gelama, baung, keli, haruan ataupun marlin memiliki sifat-sifatnya tersendiri. Oleh itu, kenali sifat-sifat ikan ini terlebih dahulu, maka tahulah kawasan lubuknya. Bagi mengelakkan ‘bangau’ pula, istilah pemancing yang menjurus kepada kegagalan dalam mendapatkan hasil, sesuatu lubuk perlu dikenal pasti selain dari sumber cakap-cakap orang yang sering ke tempat tersebut.
Di sini dikongsikan beberapa tip bagi mengenal pasti lubuk ikan sama ada bagi nelayan mahupun pemancing:
1. Kehadiran burung
Kehadiran burung pada suatu kawasan permukaan air menjadi penanda bahawa kawasan tersebut banyak ikan. Semestinya burung-burung tersebut sedang mencari rezeki dengan memburu ikan dan hidupan air.


Kehadiran burung menjadi tanda kawasan tersebut banyak ikan, biasanya ikan bersaiz kecil. Deria pemangsa burung dijadikan sebagai alat kegunaan.
2. Kawasan reba dan tunggul kayu
Kawasan yang sering menjadi kawasan persembunyian ikan adalah kawasan yang redup dan tersembunyi. Fitrah segala kehidupan, keselesaan itu penting. Begitu jugalah ikan. Kawasan yang mempunyai semak di birai sungai, bawah timbunan dahan dan tunggul menjadi habitat kegemaran ikan, selain dari pelbagai makanan yang disediakan oleh tunggul itu sendiri.
3. Air berkocak
Bagi pemancing yang sering melakukan balingan ‘casting,’ kocakan air pada sesuatu kawasan di permukaan adalah kegemaran para ‘caster.’ Itu adalah petanda bahawa ikan yang banyak sedang berada di permukaan air.
4. Longgokkan sampah dan hanyutan
Sampah sarap dan pelbagai hanyutan di permukaan air merupakan suatu kawasan yang mungkin memiliki sumber makanan bagi ikan. Ikan akan mudah tertarik dengan sesuatu yang baharu, dalam erti kata lain di sini adalah sampah sarap yang hanyut.
Jika ikan kecil sedang ‘menuai’ hasil sampah, berkemungkinan ikan lebih besar sedang ‘mengidamkan’ ikan-ikan kecil ini.
5. Alur kecil yang menuju ke pantai
Sebuah kawasan yang menjanjikan makanan yang dibawa dari kawasan darat melalui alur atau sungai kecil. Makanan yang datang bersama dengan air dari alur ini akan menarik perhatian ikan-ikan yang berada di laut ketika mencari makanan.
6. Paloh ikan, teliti kawasan ini
Biasanya paloh ikan terbentuk kerana air pasang dan air surut di sekitar gigi laut. Akan terbentuk suatu kawasan dalam berbanding kawasan sekitar kerana hakisan air terhadap pasir pantai. Kawasan yang agak gelap atau dalam ini, bila dicampakkan umpan, Insya-Allah akan memperolehi rezeki yang diimpikan.
7. Air terjun kecil
Kawasan anak sungai atau air terjun mini ini menjadi kawasan anak ikan berkumpul kerana mengandungi oksigen terlarut yang tinggi hasil dari kocakan air. Ikan kecil yang menjadi makanan ikan-ikan besar mungkin menarik minat ikan yang besar ke kawasan ini.
8. Empangan
Takungan air seperti empangan menjadi habitat pelbagai spesis ikan. Kawasan takungan sebegini merupakan kawasan selesa bagi ikan dan hidupan air lain. Air yang tenang, oksigen terlarut yang banyak, alga dan makanan semulajadi juga berkuantiti tinggi.
Kenal pasti kawasan lubuk ikan bagi mengurangkan rasa penat dan masa yang terbuang. Namun terdapat satu kawasan lubuk ikan yang diyakini akan beroleh ikan iaitu kolam pancing. – Agensi