Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tip pilih beg tangan lelaki

    Lumrah bagi seorang lelaki, bila beli beg tangan yang baharu memang akan digunakan dengan lama. Malah kebanyakan lelaki akan menggunakan beg tangan itu sehingga rosak.

    Membeli beg tangan baharu merupakan perkara yang sangat penting untuk lelaki. Ini kerana ia bukan sahaja bertujuan untuk menyimpan wang ringgit, bahkan juga pelbagai kad seperti kad pengenalan diri dan sebagainya.

    Di pasaran sekarang terdapat pelbagai jenis beg tangan yang ditawarkan. Jika bercakap dari segi bahan buatan ramai yang mungkin lebih gemar menggunakan beg tangan diperbuat daripada kulit asli. Ia bukan sahaja lebih tahan lama malah rekaannya lebih cantik dan versatil.

    Untuk rekaan lebih moden terdapat juga beg tangan yang diperbuat daripada material fabrik, bahan sintetik serta kulit tiruan. Ia tidaklah setahan lasak diperbuat daripada kulit asli namun mempunyai versatiliti dari segi penggunaan warna dan rekaan.

    Bagi memilih beg tangan yang baik untuk awda, berikut dikongsi lima tip yang boleh awda jadikan rujukan.

    Penggunaan beg tangan dari bahan kulit asli bukan sahaja tahan dari segi rekaan malahan kelihatan cantik dan versatil. – maskulin.com
    Gambar Envato

    REKAAN RINGKAS

    Lebih ringkas lebih baik! Lelaki tidak perlu rekaan yang terlalu rumit bila bercakap tentang beg tangan. Pilihlah beg tangan dengan rekaan yang ringkas dan boleh dipadankan dengan penampilan awda sama ada untuk lebih smart atau kasual.

    Dari segi warna pula pilihlah yang sesuai dengan sifat kelelakian awda seperti hitam, kelabu, coklat dan biru gelap. Bagi awda yang lebih berani boleh juga mencuba warna seperti merah, hijau dan beige.

    JENAMA BERKUALITI

    Bukan selalu awda membeli beg tangan, jadi janganlah kedekut untuk berbelanja lebih sedikit untuk mendapatkan beg tangan yang berkualiti dari jenama yang dipercayai.

    Tidak salah kalau membeli beg tangan yang mungkin lebih mahal sedikit kerana ia boleh bertahan lama berbanding dengan yang murah.

    SAIZ SESUAI

    Pemilihan beg tangan dengan saiz sesuai adalah sangat penting. Bandingkan dengan saiz beg tangan awda gunakan sebelum ini. Dapatkan saiz yang lebih kurang sama kerana itulah saiz yang sudah biasa untuk awda.

    Sebelum bertukar kepada beg tangan baharu, buanglah mana-mana kad atau kandungan yang tidak perlu dalam beg tangan terdahulu. Dengan menyimpan apa yang perlu awda akan dapat tahu saiz sesuai untuk kegunaan beg tangan baharu.

    PILIH YANG LEBIH NIPIS

    Adakah awda pernah melihat rakan awda atau sesiapa sahaja yang mempunyai beg tangan yang tebal dan apabila diletakkan di poket belakang kelihatan ianya terbonjol.

    Sebaiknya lelaki perlu memastikan beg tangan senipis yang mungkin. Pilih beg tangan yang mempunyai ruang simpanan memadai dan tidak keterlaluan. Ia perlu mudah dibawa dan juga disimpan.

    BAHAN TAHAN LASAK

    Beg tangan yang diperbuat daripada kulit asli memang lebih tahan lasak. Namun terdapat juga beberapa bahan lain mempunyai ketahanan yang baik. Penggunaan bahan sintetik masa kini juga tidak kurang hebatnya.

    Periksa ketebalan material yang digunakan serta perhatikan kualiti jahitannya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda