Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tip pilih pusat jagaan kanak-kanak

    Pusat penjagaan kanak-kanak selalunya menjadi pengalaman pertama seorang kanak-kanak berada di luar rumah, menandakan permulaan perjalanan mereka mengenali dunia yang lebih luas.

    Persekitaran ini membentuk pertumbuhan, perkembangan dan kesihatan awal, menjadikan pemilihan pusat yang berkualiti tinggi amat penting.

    Ia merupakan tempat untuk kanak-kanak kecil belajar, meneroka dan membina asas kemahiran sosial.

    Di sini, mereka mengembangkan keupayaan kognitif, kemahiran fizikal, kemahiran menyelesaikan masalah serta ketahanan emosi yang akan membantu mereka ketika di sekolah dan seterusnya.

    Selain itu, pusat penjagaan kanak-kanak turut membantu ibu bapa dengan memastikan keperluan anak dipenuhi dalam persekitaran yang selamat dan teratur sementara mereka bekerja atau menguruskan tanggungjawab lain.

    Ibu bapa harus memastikan kakitangan di pusat penjagaan pilihan mereka bukan sahaja berkelayakan, tetapi juga bersikap mesra dan penyayang terhadap kanak-kanak. – Agensi
    Kawasan permainan luar, perlu dipagar dan diselenggara dengan baik agar kanak-kanak dapat mengasah koordinasi dan kekuatan fizikal melalui permainan selamat. – Agensi

    Pada masa kini, banyak pusat menyediakan laporan harian bagi memaklumkan kepada ibu bapa tentang aktiviti dan kesejahteraan anak mereka, agar ibu bapa kekal mengetahui perkembangan serta berasa yakin dengan keselesaan dan kemajuan anak.

    TIGA KRITERIA PENTING

    Di Malaysia, pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar dikategorikan kepada dua jenis iaitu berasaskan rumah (empat hingga sembilan orang kanak-kanak) dan berasaskan institusi/tempat kerja/komuniti (10 orang atau lebih).

    Namun, mungkin sukar bagi ibu bapa menentukan aspek yang perlu diberi perhatian.

    Terdapat tiga aspek utama yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan pengalaman penjagaan yang selamat, penyayang dan menyokong perkembangan anak awda.

    1. Kakitangan yang prihatin dan berkelayakan

    Pilih kakitangan yang bukan sahaja memiliki kelayakan yang sesuai, tetapi juga bersifat penyayang dan mesra.

    Pengasuh seharusnya telah menamatkan Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak, latihan asas yang diwajibkan bagi mereka yang bekerja di pusat penjagaan berdaftar.

    Bagi menjamin keselamatan di pusat penjagaan ketika kecemasan serta pengendalian makanan dengan selamat, kakitangan juga perlu mendapat latihan CPR (resusitasi kardiopulmonari) dan pertolongan cemas, sijil pengendalian makanan serta suntikan tifoid.

    Apabila menilai kualiti kakitangan, pertimbangkan nisbah penjaga kepada kanak-kanak.

    Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesyorkan nisbah 3:1 bagi anak damit, 5:1 bagi kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun dan 10:1 bagi kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun.

    Kakitangan yang mencukupi memastikan setiap kanak-kanak mendapat perhatian dan penjagaan secara peribadi.

    Perhatikan cara kakitangan berinteraksi dengan kanak-kanak, mereka harus berkomunikasi dengan penuh kasih, sabar dan memberi galakan agar kanak-kanak berasa dihargai dan selamat.

    2. Persekitaran yang selamat dan menyeronokkan

    Pusat penjagaan kanak-kanak seharusnya menjadi ruang yang selamat serta menggalakkan penerokaan dan perkembangan.

    Kemudahan mesti bersih, kalis bahaya dan dilengkapi dengan perabot, permainan serta peralatan yang sesuai dengan usia.

    Soket elektrik hendaklah ditutup, bahan berbahaya disimpan dengan selamat dan lantai bebas daripada risiko tersandung.

    Kawasan permainan luar, jika ada, perlu dipagar dan diselenggara dengan baik agar kanak-kanak dapat mengasah koordinasi dan kekuatan fizikal melalui permainan selamat.

    Kebersihan merupakan aspek penting dalam keselamatan dan kesihatan. Pastikan kakitangan dan kanak-kanak mengamalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan sebelum dan selepas makan, selepas menggunakan tandas, serta sebelum dan selepas aktiviti atau bermain.

    Polisi pengurusan penyakit juga penting. Tanyakan tentang prosedur pusat dalam menangani kanak-kanak yang sakit bagi mengelakkan penularan jangkitan.

    Dari segi keselamatan, pastikan pusat yang dipilih berlesen atau berdaftar dengan JKM serta mematuhi prosedur keselamatan, termasuk saringan pelawat, pelan kecemasan dan polisi pengambilan kanak-kanak.

    Pusat tersebut juga sebaiknya mempunyai Dasar Perlindungan Kanak-kanak sendiri.

    3. Aktiviti yang sesuai dengan tahap perkembangan

    Pusat penjagaan yang baik menawarkan aktiviti seimbang dan tersusun yang menggalakkan perkembangan sosial, kognitif dan fizikal. Namun, adalah penting untuk memberi ruang kepada kanak-kanak menikmati permainan bebas dan tidak berstruktur.

    Aktiviti harus merangkumi permainan individu dan berkumpulan, serta sesi dalam dan luar bangunan.

    Melalui permainan, kanak-kanak akan membangunkan kemahiran kognitif, motor, penyelesaian masalah dan ketahanan emosi.

    Pilih pusat yang menggalakkan kreativiti dan berdikari dengan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk melibatkan diri dalam tugasan dan cabaran yang sesuai dengan usia mereka.

    Contohnya, projek seni, penceritaan, teka-teki mudah dan muzik merupakan cara terbaik untuk menyokong perkembangan menyeluruh.

    Pendekatan disiplin dan bimbingan perlu menumpukan kepada peneguhan positif, mengajar kawalan diri dan empati.

    Polisi juga perlu ada bagi menangani isu biasa seperti menggigit, memukul atau membuli secara membina.

    Selain itu, tanyakan tentang rutin tidur dan aktiviti alternatif jika kanak-kanak tidak mahu tidur, bagi memastikan keperluan individu dihormati.

    Jika terdapat penggunaan skrin, pastikan ia terhad, berfaedah dan seimbang dengan aktiviti lain yang melibatkan interaksi fizikal.

    KEKAL TERLIBAT

    Memilih pusat penjagaan kanak-kanak terbaik memerlukan penilaian teliti terhadap kelayakan kakitangan, standard keselamatan dan program perkembangan. Walaupun pusat penjagaan amat berguna, ia tidak menggantikan peranan awda sebagai ibu bapa dalam kehidupan anak.

    Dengan membuat pilihan bijak, awda memastikan anak mendapat penjagaan, sokongan dan rangsangan yang diperlukan untuk mem-besar dengan sihat. Namun, penglibatan dan pemantauan berterusan sama pentingnya.

    Pastikan awda mengikuti sebarang kemas kini daripada pusat atau JKM, dan sentiasa proaktif memantau pengalaman anak awda. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda