Sebagai seorang yang gemar dengan tata rias wajah, pasti awda ingin tahu warna gincu apa yang sesuai untuk penampilan.
Warna kulit memainkan peranan penting dalam pemakaian alat solekan. Walaupun ramai yang tidak mengambil berat tentang isu tersebut, namun pada dasarnya, ia akan mempengaruhi penampilan harian awda.
Mungkin di antara awda yang masih mempunyai keraguan dan tidak tahu untuk menggayakan solekan gincu. Justeru sebagai langkah pertama, awda perlu mengenal pasti warna dasar kulit.
Ia biasanya dikategorikan kepada tiga jenis warna, iaitu cool, warm dan neutral, mengikut warna pembuluh darah setiap individu.
TONA KULIT COOL
Warna dasar kulit cool, digambarkan untuk mereka yang mempunyai pembuluh darah berwarna biru. Pada kebiasaannya, pemilik warna dasar kulit jenis sedemikian akan mempunyai warna kulit yang terlihat lebih pucat dan cerah.
Jika awda memiliki kulit yang cerah dan ingin mendapatkan penampilan semula jadi untuk solekan, penggunaan warna gincu seperti warna merah jambu, merah jambu-pastel atau merah jambu-belacan adalah pilihan yang paling sesuai. Bagi mendapatkan penampilan yang lebih menarik, penggayaan gincu berwarna merah cerah, merah kecoklatan dan juga merah manggis, merupakan koleksi warna gincu yang awda perlu miliki.
TONA KULIT WARM
Warna dasar kulit warm ini adalah untuk mereka dengan pembuluh darah yang tidak terlalu jelas, berwarna biru ataupun hijau. Bagi kategori warna kulit itu, sebenarnya memiliki beberapa tona warna, tergolong daripada warna kulit tan, coklat gelap dan hitam.
Pemilihan untuk awda yang berkulit tan, penggunaan gincu berwarna merah jambu-pastel yang gelap, akan menyerlahkan lagi sisi semula jadi dalam penampilan awda. Namun, jika ingin membawa penampilan yang lebih ringkas tetapi anggun, warna coklat muda atau pic gelap adalah warna yang patut awda cuba.
Bagi awda yang mempunyai warna kulit lebih coklat tua hingga hitam, jangan risau kerana warna ungu muda atau ungu tua adalah pilihan yang terbaik untuk penampilan semula jadi. Pemilihan warna ungu kemerahan dan merah bata terang pula, akan menyerlahkan lagi sisi tarikan awda.
TONA KULIT NEUTRAL
Warna dasar kulit ini tidak asing lagi bagi masyarakat yang tinggal di Asia. Pemilik warna dasar kulit itu, adalah mereka yang mempunyai pembuluh darah tidak terlalu biru mahupun hijau. Kebiasaannya, pemilik warna dasar kulit neutral memiliki warna kulit yang terlihat agak kuning hingga sawo matang.
Bagi yang berkulit kekuningan, gincu berwarna seperti merah jambu tua dan merah jambu-pic adalah pilihan warna yang tepat untuk memperoleh penampilan semula jadi.
Bagi penampilan yang lebih ringkas, awda boleh menata rias bibir dengan warna yang lembut, seperti soft-peach hingga pic gelap.
Pemilihan warna merah menyala atau oren terang pula, akan memperlihatkan lagi sisi memukau dan berani awda.
Jika awda berkulit sawo matang pula, memilih gincu berwarna merah tetapi ke arah yang lebih gelap adalah pilihan terbaik.
Warna-warna yang awda boleh cuba adalah seperti, warna beri merah dan warna coklat merah. Bagi awda yang memiliki warna kulit tersebut, disarankan untuk menghindari daripada menggayakan bibir dengan gincu berwarna oren ataupun merah jambu. Warna tersebut akan membuatkan solekan awda kelihatan agak membosankan dan tidak segar. – Agensi