Tinggal kurang beberapa hari sahaja lagi untuk semua umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, dan sudah semestinya ramai yang merasa tak sabar untuk pulang beraya ke kampung halaman masing-masing. Di sini dikongsikan beberapa tip dan persediaan sebelum anda pulang ke kampung sempena Hari Raya ini agar anda dapat bercuti dengan tenang bersama keluarga tersayang:
1. Servis kereta
Ini merupakan perkara yang paling mustahak yang perlu anda lakukan sekiranya anda bercadang untuk memandu pulang ke kampung. Sudah tentu anda tidak mahu kereta meragam atau tersadai di tepi jalan akibat kehabisan air bateri atau tayar pancit. Pastikan juga anda menjadualkan servis kereta dengan awal kerana pada musim perayaan ini, pusat servis kereta sentiasa penuh.
2. Tutup punca kuasa elektrik
Periksa semua suis di setiap sudut di dalam rumah anda dan pastikan setiap plag dicabut dari soketnya. Ini bukan sahaja menjimatkan elektrik malahan dapat mencegah berlakunya perkara yang tidak diingini seperti litar pintas yang boleh menyebabkan kebakaran.

3. Tutup kepala tong gas memasak
Kebanyakan rumah masih memasak menggunakan tong gas silinder. Pastikan anda menutup kepala gas agar risiko kebakaran dapat dicegah sewaktu anda pulang ke kampung.
4. Tutup paip atau pili air
Periksa semua paip atau pili air di rumah anda dan pastikan ia telah ditutup sebelum anda keluar rumah. Sekiranya rumah anda mempunyai kolah mandi, kosongkan air di dalamnya dan segala tempat yang ada takungan air di dalam rumah dan di luar rumah dibersihkan dan dikeringkan untuk mengelakkan nyamuk aedes dari membiak.
5. Simpan segala barangan berharga di tempat yang selamat
Seboleh-bolehnya simpan segala barangan berharga seperti barang kemas, wang tunai, komputer riba dan lain-lain di dalam peti besi. Jika anda tidak mempunyai peti besi, mungkin boleh menyimpannya di dalam almari yang berkunci atau di tempat yang tidak mudah dijangka oleh perompak yang berkemungkinan memecah masuk ke rumah sewaktu anda tiada.
6. Kunci semua pagar dan pintu
Pastikan semua pintu dan pagar dikunci, dan adalah lebih baik sekiranya pintu mempunyai sistem kunci berganda sekiranya anda tidak mempunyai sebarang sistem penggera keselamatan. Jangan menyimpan kunci di bawah pasu atau di bawah alas kaki dengan alasan takut terlupa membawa kunci apabila pulang dari kampung. Bawa ia bersama anda. – Agensi