Malaysia terkenal dengan cuaca yang panas dan lembap.
Tahukah awda, haba panas merupakan salah satu faktor dalam mengurangkan jangka hayat dan juga prestasi bateri kereta awda?
Tetapi awda tidak perlu risau, semua bateri kereta telah ditambah baik bagi mengelakkan cuaca di Malaysia mengganggu ketahanan bateri awda.
Walau bagaimanapun, awda masih perlu memahami cara menjaga bateri kereta dengan betul supaya awda dapat mengurangkan risiko bateri kereta mati dengan lebih cepat.
Berikut merupakan perkongsian daripada laman web Carlist Malaysia.
KETAHANAN BATERI
Berapa lamakah bateri kereta awda boleh bertahan? Sebenarnya, ia bergantung kepada jenis bateri apa yang kereta awda gunakan.
Bagi jangka hayat bateri kereta kering, ia mempunyai jangka hayat sekitar dua tahun sahaja. Manakala, bagi jangka hayat bateri kereta basah pula antara lima hingga 10 tahun.
Awda pakai kereta hibrid? Jangka hayat bateri kereta hibrid bergantung kepada jenama kereta awda, bagi Honda, syarikat menjanjikan ia boleh digunakan sehingga lapan tahun, manakala bagi Toyota pula sehingga 120,000km.
Namun, semua ini bergantung kepada cara pemakaian awda. Jom baca beberapa tip supaya bateri kereta awda tahan lama.
PEMERIKSAAN BATERI KERETA BERKALA
Rajin-rajinkan diri awda untuk membuka but depan kereta dengan lebih kerap. Jangan lupa, bateri kereta juga perlu diperiksa sama seperti minyak hitam.
Bateri kereta ada serbuk biru? Awas! Itu merupakan petanda karat. Elak dari serbuk tersebut berkumpul di bateri kereta awda. Bersihkan menggunakan serbuk soda dan air serta gosok menggunakan berus dawai.
Selain itu, awda juga boleh periksa bateri kereta dengan menggunakan multimeter. Ini dapat membuat awda lebih yakin untuk meneruskan perjalanan awda terutamanya perjalanan jauh.
CARA PEMANDUAN YANG SEIMBANG
Tahukah awda, perjalanan pendek yang kerap boleh merosakkan bateri kereta awda?
Apabila awda memandu, alternator akan mengecas semula bateri. Jadi, bila perjalanan terlampau pendek, bateri tak sempat cas sepenuhnya dan menyebabkan kapasiti bateri menurun.
Kesimpulannya, elakkan daripada membuat perjalanan pendek atau sering ‘start’ dan ‘off’ enjin kereta awda.
ELAK PENGGUNAAN SISTEM ELEKTRIK BERLEBIHAN
Siapa pernah terlupa ‘off’ lampu kereta bila pergi ‘Mall’? Masuk kereta, enjin tak boleh hidup! Malunya kena pinjam bateri kereta lain untuk ‘jump’ kereta awda.
Kenapa jadi macam ni? Hal ini kerana, apabila enjin mati, bateri kereta awda perlu bekerja keras untuk mengekalkan sistem elektrik di kereta awda. Isu ini boleh membuat bateri kereta lebih cepat habis. Akibatnya, bateri kereta cepat habis. Jadi, jangan pakai barang elektrik dalam kereta tanpa menghidupkan enjin kereta.
Bayangkan awda nak ke suatu destinasi, jadi awda masuk kereta lalu awda ‘ON’ lampu depan, radio, mengecas telefon, mengecas ‘powerbank’. Kita baca pun penat, inikan pula bateri kereta awda. Elakkan daripada menggunakan barang elektrik dalam kereta dengan serentak. Ia akan membuatkan bateri kereta awda bekerja lebih keras. Hasilnya? Bateri cepat mati!
MENGGUNAKAN BATERI KERETA BERKUALITI
Walaupun harga sedikit tinggi, memilih jenama bateri kereta yang betul adalah pilihan yang berbaloi. Bateri kereta yang berkualiti telah dibuktikan mempunyai jangka hayat yang lebih lama.
Ini bermakna, awda tidak perlu terlalu kerap tukar bateri kereta awda. Ia boleh membantu awda berjimat dalam jangka waktu panjang. Sebagai contoh, jangka hayat bateri kereta jenama A pada harga RM288 adalah tiga tahun sehingga tiga tahun setengah. Manakala bagi jangka hayat bateri kereta jenama B berharga RM200 pula adalah dua hingga tiga tahun. Jadi ia bergantung kepada awda. Ingin yang murah atau lebih tahan lama. – Agensi