LONDON, 31 DIS – Apabila tahun baharu menjelma, begitu juga munculnya peluang untuk berubah.
Ramai pakar berkata Januari boleh menjadi masa yang baik untuk berfikir tentang azam untuk meningkatkan diri, tetapi mereka juga turut mengakui bahawa usaha yang konsisten amat diperlukan untuk melaksanakannya.
Kajian telah menunjukkan bahawa sehingga 70% orang yang membuat azam Tahun Baru meninggalkan niat baik tersebut dalam beberapa bulan.
Berikut ialah beberapa tips untuk kekalkan azam awda apabila kegigihan mula goyah.
Mulakan dari usaha yang kecil
Pakar psikologi, Lynn Bufka mencadangkan untuk bersikap realistik tentang sebarang azam atau resolusi.
“Agak membebankan apabila awda berazam ingin turunkan berat badan sebanyak 20kg dan dengan itu, awda tidak akan makan pencuci mulut lagi,” katanya. “Mungkin lebih berguna untuk mengatakan, awda hanya akan menikmati pencuci mulut pada hujung minggu atau hanya di majlis-majlis khas.”
Pakar kesihatan tingkah laku mengesyorkan untuk pecahkan matlamat yang tinggi kepada sasaran yang lebih kecil, seperti menukar sekurang-kurangnya satu snek untuk buah-buahan dan sayur-sayuran atau bersenam selama 10 minit setiap hari.
Sebaik sahaja awda berjaya mencapai matlamat yang lebih kecil ini, matlamat yang lebih besar mungkin tidak kelihatan begitu membebankan.
Sentiasa fikir positif
Sememangnya sukar untuk membuat perubahan yang besar. Bufka berkata bahawa hanya berfikir secara lebih positif tentang matlamat utama dan hasil yang bakal awda perolehi daripada perubahan tingkah laku awda, boleh meningkatkan motivasi awda.
“Jika saya memasukkan wang untuk membeli coklat setiap hari ke dalam balang, ia akan mula bertambah.” jelas Bufka, timbalan ketua penyelidikan dan dasar di Persatuan Psikologi Amerika.
Fokus pada resolusi yang membantu awda dapat dan bukannya apa yang awda tidak dapat boleh menjadi cara yang berkesan untuk merangka semula pemikiran awda, kata pakar.
Fokus pada matlamat
Kajian tentang azam tahun baru yang diterbitkan pada 2020 mendapati bahawa orang yang menumpukan pada matlamat tertentu lebih berjaya daripada mereka yang cuba membuang tabiat buruk.
Menurut dapatan kajian yang melibatkan lebih 1,000 orang, saintis mendapati resolusi paling popular melibatkan senaman, penurunan berat badan dan tabiat makan.
Resolusi lain pula tertumpu pada peningkatan diri, isu kewangan peribadi dan cara untuk memberi tumpuan kepada kesihatan mental dan mengurangkan tekanan.
Antara 55% orang yang mengatakan bahawa mereka masih menyempurnakan resolusi mereka selepas satu tahun, hampir 60% berkaitan azam melibatkan matlamat berbanding 47% yang menumpukan pada mengubah tingkah laku tertentu.
Libatkan rakan dan tetapkan kalendar
Melibatkan orang lain dalam usaha awda, baik untuk sokongan mahupun untuk menjadikan awda bertanggungjawab berkaitan azam awda, juga boleh membantu.
Contohnya, seseorang yang berazam untuk mula bersenam lebih kerap, mungkin mendapati ia berguna untuk menyertai kumpulan larian atau mencari kelas gim dengan rakan-rakan, untuk menjadikan latihan lebih seronok.
Pakar juga mengesyorkan tetapkan masa khas di kalendar untuk membantu awda seperti menanda tempoh tertentu setiap pagi atau petang untuk bersenam.
Berbuat baik pada diri sendiri
Perubahan itu sukar, jadi jangan mengharapkan kesempurnaan. Pasti akan timbul saat apabila awda berasa mustahil untuk mengekalkan resolusi awda atau rasa mahu berputus asa.
“Antara resolusi yang hebat mungkin, ‘Saya akan kurang menilai diri saya sendiri,'” kata Tamara Russell dari Persatuan Psikologi British. “Kajian menunjukkan bahawa lebih banyak kita rasa belas kasihan terhadap diri, kita akan merasa lebih belas kasihan terhadap orang lain.”
Akhir sekali, jika esok, 1 Januari 2025 terasa seperti tarikh paksaan atau buatan untuk bermula resolusi baharu, buat sahaja perubahan mengikut jadual awda sendiri.
Russell berkata ia sebenarnya,”tidak masuk akal sama sekali” untuk membuat resolusi yang wajib dipetakan pada tahun kalendar, memandangkan musim sejuk lazimnya adalah masa hibernasi untuk kebanyakan dunia secara semula jadi.
Beliau berkata musim bunga iaitu sebagai musim pertumbuhan dan pembaharuan, mungkin boleh jadi masa yang lebih baik untuk kebanyakan orang untuk berubah.
Namun, untuk mengekalkan resolusi dengan lebih baik, Russell mencadangkan untuk menyemak setiap minggu apa yang telah dan tidak tercapai.
“Teruskan perbaiki diri dan jangan takut untuk mengubahsuai apa yang awda lakukan,” katanya. “Kaji tingkah laku awda sendiri seperti seorang saintis.” – AP