Beli kereta, hutang hingga 10 tahun tapi kereta dah nampak buruk sebab cat pun dah luntur? Pasti tak seronok kalau jadi macam ni kan?
Perkara ini mungkin boleh berlaku disebabkan pemilik kereta tidak menjaga cat kereta dengan baik.
KENAPA AWDA PERLU JAGA CAT KERETA?
Menurut laman blog BJAK, terdapat beberapa sebab yang memerlukan awda untuk menjaga cat kereta iaitu bagi mengelak daripada kereta susut nilai dari yang sepatutnya; bagi mengelak cat kereta kusam; dan bagi memastikan kereta tampak cantik dan kemas.
Justeru, kali ini kami akan mengongsikan empat tips penjagaan cat kereta yang berguna untuk awda bagi memastikan kereta awda kekal tampak baharu dan cantik.
CUCI KERETA SELEPAS HUJAN
Sedarkah awda bahawa air hujan yang terkena pada kereta sebenarnya merupakan punca utama warna cat pada kereta cepat pudar?
Ya, ini kerana air hujan mempunyai asid yang boleh menghakis clear cot atau chrome pada kereta. Meskipun ia tidak berlaku dengan pantas, namun ia akan memberi kesan untuk jangka masa panjang nanti.
Tapi sekarang ni musim hujan, rugi lah kalau selepas basuh nanti hujan balik?
Janganlah begitu. Jika awda mahu mengekalkan cat kereta pada tahap yang terbaik dan cantik, awda perlu abaikan ‘mindset’ itu dan basuh sahaja kereta awda selepas hujan. Tak perlu lah kalau setiap hari hujan, setiap hari awda cuci. Cukuplah dua kali seminggu atau seminggu sekali awda membasuh kereta awda bagi mengekalkan kondisi cat.
WAX KERETA BEBERAPA BULAN SEKALI
Wax perlu dilakukan bagi melindungi cat awda antaranya daripada hujan asid. Apabila awda melakukan wax, kotoran juga tidak akan mudah terlekat pada cat kereta memandangkan wax tersebut sudah melicinkan permukaan cat.
Walau bagaimanapun, lapisan wax kereta akan hilang dan hanya mampu bertahan dalam jangka masa sekitar tiga bulan, bergantung pada keadaan. Untuk wax kereta, awda boleh lakukannya sahaja sendiri di rumah kerana prosesnya tidaklah susah. Awda boleh membeli wax ini sama ada di kedai DIY mahupun mana-mana kedai hardware lain.
LAP KERETA DENGAN KAIN KHAS UNTUK KERETA
Jangan gunakan sembarangan jenis kain untuk mengelap kereta awda kerana ia mampu memberikan kesan yang tidak baik. Seeloknya, awda gunakanlah kain microfiber yang lembut bagi mengelap kereta kesayangan awda itu.
Jika awda menggunakan kain microfiber yang keras dan lama, ia akan memerangkap habuk pasir sehingga pada akhirnya akan menyebabkan kereta awda mempunyai calar-calar halus.
COATING KERETA
Coating kereta sebenarnya berfungsi agak sama seperti wax. Namun, bezanya coating akan membantu untuk menjaga cat kereta awda daripada sinaran UV; melindungi kereta awda daripada tahi burung dan calar-calar halus; menjadikan kereta lebih berkilat dan bersinar; membuatkan kereta lebih tahan daripada sebarang bahan kimia; dan kereta menjadi kalis air.
Berbanding wax, proses untuk melakukan coating adalah lebih lama dan rumit malah harganya juga sedikit mahal.
Namun yang pasti, hasilnya nanti pasti memuaskan hati!
Sebagai kesimpulan, jagalah kereta awda. Awda mungkin telah membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk kereta awda.
Jadi, tidak salah untuk awda memberikan penjagaan yang lebih rapi demi memastikan kereta awda itu kekal cantik dan sedap mata memandang.
Jangan malas dan jadilah seorang pemilik kereta yang rajin dan bertanggungjawab terhadap keretanya. – Agensi