Tidak semua pasangan selebriti mahu bekerjasama dalam sebuah karya. Itu yang berlaku kepada pelakon popular Indonesia, Titi Kamal yang mengakui suami, Christian Sugiono pernah menolak tawaran untuk menggandingkan mereka berdua dalam filem Tipu Kiri Tipu Kanan terbitan 2008.
Sebagai isteri, Titi, 44, menghormati permintaan suami yang mengizinkan diri berlakon dengan pelakon lelaki lain di dalam filem.
“Sejujurnya saya tidak pernah menolak kerana kami sama-sama pelakon. Cuma Christian yang menolak. Katanya, biar kami sebagai suami isteri di realiti sahaja dan untuk lakonan saya berganding dengan pelakon lain,” katanya kepada Kosmo.
Tambah Titi yang ditemui pada majlis tayangan filem Tabayyun baru-baru ini menjelaskan, Christian kini sibuk dengan urusan perniagaan resort milik mereka di Pulau Bali, Indonesia.
Dalam pada itu, Titi yang juga ibu kepada dua orang anak itu mengakui dia kini lebih terarah untuk berlakon filem berbanding sinetron kerana enggan terikat dengan jadual penggambaran yang begitu panjang.
Manakala, menerusi filem arahan Key Mangunsong tersebut, Titi memegang watak seorang ibu tunggal yang membesarkan anaknya tanpa kehadiran suami dan menurutnya watak itu telah menyebabkannya banyak menangis semasa di set penggambaran.
“Filem Tabayyun memang membuat saya banyak menangis sampai ada satu ketika saya meminta kepada pengarah untuk tidak menangis.
“Tetapi apabila masuk sahaja ke set penggambaran saya automatik menangis. Jadi, mata kelihatan bengkak kerana terlalu banyak menangis,” tutur Titi.
Selain berlakon, Titi juga bertindak sebagai penerbit eksekutif untuk filem Tabayyun.
Berkongsi tentang pengalamannya sebagai seorang penerbit kata Titi, tugasannya yang jauh berbeza. – Agensi
