Penyanyi legenda Indonesia, Titiek Puspa, 87, menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit angin ahmar di Hospital Medistra, Gatot Subroto, Jakarta Selatan, jam 4:25, kelmarin.
Berita pemergian Titiek Puspa atau nama sebenar, Sudarwati disahkan oleh pengurusnya dikenali sebagai Mia.
“Iya, eyang (panggilan Titiek Puspa) baru saja meninggal,” ujar Mia saat dihubungi wartawan.
Kini jenazah Titiek Puspa masih berada di Hospital Medistra, Gatot Subroto.
Sebelum ini, anak sulung Titiek Puspa, Petty Tunjungsari Murdago, berkongsi keadaan ibunya yang sedang dirawat di Hospital Medistra, lapor BH Online.

“Ya, dalam usia 87 tahun, banyak hal-hal yang kita tidak mengerti kenapa ia terjadi,” ujar Petty ketika ditemui pemberita di Hospital Medistra.
Petty mengatakan, dua hari sebelum kematian, keadaan kesihatan ibunya masih baik.
Pada 24 Mac, Titiek Puspa sempat menghadiri acara bersama anak yatim.
Titiek Puspa memulakan karier muzik sejak era Presiden Soekarno, tepatnya pada 1954 dan menghasilkan ratusan karya.
Perjalanan karya Titiek Puspa tidak mudah berikutan anak keempat daripada 12 adik-beradik itu sudah terbabit dalam pelbagai kegiatan seni mulai dengan menyanyi hingga teater.
Wanita yang akrab disapa Eyang Titiek itu dikenali secara meluas sebagai ikon industri hiburan Indonesia.
Namun, Titiek Puspa mempunyai cita-cita berbeza ketika kecil iaitu mahu menjadi seorang guru. – Agensi