Oleh Salawati Haji Yahya –
Menerima pingat yang dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda, sememangnya menjadi impian semua orang ibarat peluang yang hadir sekali dalam 1,000 terutama bagi mereka yang banyak menyumbangkan jasa sekali gus menabur bakti dalam berkhidmat kepada kerajaan Baginda Sultan.
Umum diketahui bahawa pada setiap bulan Julai, menjelang tiba Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, negara kita pasti tidak ketinggalan dengan diserikan pelbagai acara bagi menyemarakkan suasana sambutan tersebut termasuklah majlis pengurniaan pingat-pingat kepada warga perkhidmatan awam di kementerian masing-masing.
Dalam berkongsi suasana kegembiraan dan rasa syukur atas penganugerahan itu, pihak media turut berpeluang menemu bual beberapa orang penerima Pingat Kerja Lama (PKL) yang disampaikan di kementerian masing-masing, baru-baru ini.
Dalam pada itu, temu bual media dengan salah seorang penerima PKL, Hajah Siti Zahrah binti Haji Moktal dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan mengongsikan, sepanjang 35 tahun berkhidmat dengan kerajaan Baginda Sultan, banyak ilmu dan pengalaman yang telah digarap.
Menerusi perkongsian Hajah Siti Zahrah semasa ditemu bual oleh pihak media, beliau yang memulakan perkhidmatan di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Berakas Kem pada tahun 1984 sehingga tahun 2014, awalnya bermula dari peringkat bawah dengan menyandang jawatan sebagai kerani dan semasa berkhidmat di ABDB, beliau telah mendapat anugerah Pingat Indah Kerja Baik (PIKB) pada tahun 2010.
Justeru, beliau turut menaruh harapan agar dengan penerimaan anugerah pingat kedua kali ini iaitu PKL, akan dapat menyuntik semangat beliau untuk terus menabur bakti dan mempertingkatkan lagi prestasi kerja ke arah yang lebih bermutu dan lebih baik.
“Dengan adanya pingat yang diperolehi ini, saya ingin menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan atas penganugerahan PKL ini yang bakal menjadi ristaan ramai sepanjang masa nanti,” jelasnya.
PKL pemangkin perkhidmatan cemerlang
Dalam sorotan perkongsian lain, pihak media juga turut menemu bual penerima PKL seterusnya, Haji Mohamad Noor Irwan bin Haji Osmar yang telah berkhidmat di Pusat Sejarah Brunei di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi, sejak tahun 2001.
Ketika ditemui, beliau telah mengongsikan salah satu cabaran dalam menggalas tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan beliau untuk menjaga tapak pemuliharaan makam, sejarah sultan-sultan Brunei dan lainnya.
Di samping itu, beliau turut berkongsi perkembangan dan perubahan yang dilihat dari tahun awal beliau berkhidmat di Pusat Sejarah Brunei sehingga kini.
Menurutnya, jika ditinjau dari tahun-tahun sebelumnya, kebanyakan sistem mekanisme yang digunakan oleh Pusat Sejarah Brunei ketika itu adalah dalam bentuk manual seperti tempat penyimpanan data, menulis skrip, menyimpan dokumen dan data menggunakan disket dan banyak lagi.
Berbanding sekarang jelasnya, banyak teknologi baharu telah digunakan untuk membuat penyimpanan data lebih mudah dan sistematik di samping pentadbiran yang semakin maju sekali gus menjadikan semua perlaksanaan kerja menjadi lebih efisien, ringan dan mudah.
Lantaran itu, menyentuh mengenai pingat yang diterima kali ini iaitu PKL, ia merupakan pingat kedua yang diterima di sepanjang perkhidmatan beliau, di mana beliau sebelumnya telah dianugerahkan pingat pertama pada tahun 2018 iaitu PIKB.
Rentetan itu, dengan penerimaan kedua-dua pingat, PIKB dan PKL ini, beliau turut menzahirkan harapan agar ia akan menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat dengan nilai jujur, amanah dan mematuhi etika yang digariskan agar bertambah semangat beliau dalam menjalankan tugasan dan mencari sesuatu yang baharu untuk menambah baik hal ehwal pengurusan kerja.
Beliau turut menyembahkan ucapan menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan atas penganugerahan PKL yang diterima tahun ini.
Laksana tugas penuh dedikasi
Sementara itu, mengupas lanjut bicara temu bual berkenaan, pihak media juga mendekati penerima lain seterusnya bagi anugerah PKL menerusi perkongsian Awang Alomsa Nor Adzmin bin Haji Alli Omar di Perpustakaan dan Pembelajaran Pusat Sejarah Brunei juga merupakan salah seorang penerima anugerah PKL dari KKBS tahun ini.
Menerusi perkongsian tersebut, beliau yang mula berkhidmat pada tahun 2010 di Pusat Sejarah Brunei sebelumnya pernah berkhidmat sebagai guru agama pada tahun
2000. Beliau menjelaskan bahawa anugerah yang diterima itu adalah kali pertama sepanjang tempoh beliau berkhidmat.
Pada Majlis Penyampaian Pingat bagi KKBS baru-baru ini di kementerian berkenaan, beliau ketika ditemui, melahirkan ucapan rasa syukur atas penganugerahaan PKL yang diterima itu dan dengan penganugerahaan pingat ini, beliau akan terus berusaha ke arah
yang lebih cemerlang lagi dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.
Di samping itu, beliau juga berkongsi cabaran dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau sebagai penulis khat jawi di pusat berkenaan.
Menurut beliau, antara cabaran yang dihadapi adalah membaca manuskrip lama dari segi tulisan meskipun ejaan tidak banyak yang berbeza.
Menurutnya lagi, tulisan jawi yang lama memiliki perbezaan yang ketara berbanding yang sekarang, di mana tulisan jawi yang lama mempunyai bentuk tulisan yang lebih rapat dan kadang-kadang terdapat juga sesetengah tulisan yang sudah mula pudar disebabkan manuskrip-manuskrip yang sudah dimakan usia.
“Dalam usaha untuk mengekalkan dan menjadikan tulisan jawi ini tempat di hati semua bukan hanya tertumpu kepada usaha untuk mempertingkatkan tulisan jawi saja tapi ia juga perlu untuk mengekalkan keindahan kaedah jawi dengan tempat untuk mempertahankan khat jawi di negara ini,” jelasnya.
Beliau seterusnya menjelaskan, sejak berkhidmat di pusat berkenaan sehingga ke hari ini, banyak kemajuan dan perkembangan yang ketara iaitu dari segi penggunaan kemudahan teknologi sesuai mengikuti peredaran zaman.
Di samping itu, beliau seterusnya berharap agar seni khat jawi tak lapuk ditelan zaman dan terus dikembangkan.