Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Dengan matlamat untuk menerapkan kesiapsiagaan pegawai dan kakitangan dalam menjalankan tugas mereka dan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya kebakaran, seramai 20 orang pegawai dan kakitangan Bangunan Makmal Klinikal Diagnostik Molekular bagi Penyakit Berjangkit, Daerah Tutong menyertai Taklimat Keselamatan Kebakaran, baru-baru ini.
Ia dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi ‘E’, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di bangunan berkenaan.
Taklimat disampaikan oleh Timbalan Pegawai Balai Mohd Azlan yang berkongsi pengetahuan mengenai penggunaan alat pemadam api yang betul dan kesedaran kepada para peserta mengenai bahaya api serta tatacara menangani kebakaran kecil di tempat kerja mahupun di rumah.
JBP menyarankan orang ramai supaya sentiasa peka dalam membuat sesuatu perkara dari sudut keselamatan kebakaran yang harus dititik beratkan serta berwaspada selalu semasa melakukan sebarang pekerjaan di luar ataupun di dalam rumah.
