Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Dengan matlamat untuk menitikberatkan
aspek keselamatan kebakaran, Bahagian Perhubungan Awam bersama anggota dari Balai Bomba Pelancaran, Cawangan Operasi D yang diketuai oleh ABK 3 Sandin bin Jair menjalankan latihan kebakaran dan pengosongan bangunan di Sekolah Rendah Bendahara Lama pada 8 Ogos lalu.
Latihan melibatkan warga sekolah yang terdiri daripada guru-guru dan murid-murid seramai 57 orang di mana ia bertujuan untuk memastikan mereka mengetahui tatacara betul untuk menyelamatkan diri semasa kebakaran.
Latihan itu dibuat sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan keberkesanan prosedur yang efektif dan bersistematik.
JBP menyatakan jabatannya ada menyediakan program-program keselamatan seperti taklimat mengenai kebakaran, LS995 dan Kursus Marsyal Bomba bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
Orang ramai disarankan jika berlaku kecemasan, untuk menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang betul.