Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 DIS – Hidup ini bagaikan roda, kadang-kadang kita di atas dan mungkin kita akan berada di bawah. Begitulah lumrah kehidupan manusia yang semestinya sukar untuk diduga. Apa yang pasti keselesaan dan kesenangan hidup setentunya sentiasa menjadi impian setiap insan di dunia ini.
Justeru, untuk memiliki kesempurnaan hidup, seseorang mestilah menitikberatkan perancangan kewangan yang betul dan juga bersistematik.
Meski hak kebebasan dalam menentukan pilihan dan keputusan mengenai kewangan terletak di tangan masing-masing namun kita perlu sentiasa menyemai sikap beringat-ingat dalam mempersiapkan diri menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku dalam sesebuah kehidupan bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’.
Bagi warga perkhidmatan awam, 26 Disember merupakan hari yang dinanti-nantikan apabila bonus tahunan diterima daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Ia bukan sahaja sebagai tanda penghargaan malahan juga sebagai motivasi dalam meningkatkan mutu kerja, setelah menyumbangkan khidmat bakti, berpenat lelah bekerja selama 12 bulan. Pemberian bonus ini juga bertepatan dengan persediaan bagi penggal persekolahan 2025 yang akan bermula lebih kurang seminggu sahaja lagi.
Beberapa orang awam yang berkesempatan ditemui Media Permata, antaranya melahirkan rasa syukur mereka bakal menerima pemberian bonus berkenaan yang pastinya sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan lebih-lebih lagi musim persekolahan anak-anak mereka.
Salah seorang penduduk yang menetap di Daerah Tutong, Dayang Aminah berkongsi pandangan peribadi penerimaan bonus tahunan akan digunakan untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak yang masih belajar di peringkat rendah seperti buku teks dan kerja sekolah walau bagaimanapun tidak semua barangan seperti alat tulis, beg, kasut dan baju perlu dibeli lagi terutamanya sekiranya masih dalam keadaan baik.
Tekannya, kita harus bijak dalam berbelanja di samping sama-sama mendidik anak-anak agar tidak bersikap boros dalam menjalani kehidupan sehari-hari.
Manakala itu, Awang Zul pula menjelaskan, walaupun dengan penerimaan bonus ini dianggap salah satu peluang untuk berbelanja lebih berbanding bulan-bulan yang lain, tapi kita juga perlu beringat bagi berbelanja apa yang benar-benar perlu sahaja dan apa yang pasti sebahagian daripada hasil pemberian bonus ini juga akan disimpan dan dikongsikan bersama kedua-dua ibu bapa untuk meraih keberkatan.
Oleh yang demikian, dalam dunia yang semakin mencabar ini, tanpa adanya perancangan kewangan yang betul, kestabilan dalam ekonomi dalam meniti kehidupan sehari-hari tidak akan tercapai.
Oleh itu, bersama-samalah kita mengurus rezeki yang diperolehi mengikut lunas-lunas Islam demi mencapai kebahagiaan, kesenangan dan kesejahteraan hidup agar dengannya kita dapat mengukuhkan ekonomi diri dan keluarga, menjamin masa hadapan yang lebih baik dan sekali gus dapat memantapkan ekonomi negara, di samping mengamalkan sikap sederhana dalam berbelanja dan mensyukuri nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah SWT.