Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiz Zaqyah rancang kahwin tahun depan dengan lelaki pilihan

    Pelakon Tiz Zaqyah berkongsi khabar gembira dia kini sedang merancang untuk menamatkan zaman bujang dengan lelaki pilihannya.

    Menurut Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 37, dia dan bakal suaminya itu masih belum menetapkan sebarang tarikh rasmi majlis perkahwinan, namun dijangka majlis tersebut berlangsung tahun hadapan.

    “Tarikh yang tetap belum ada lagi tapi insya-Allah tahun depan. Alhamdulillah, doakan yang baik-baik buat saya,” katanya kepada mStar.

    Tiz berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media drama Impiana Karma yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur kelmarin.

    Berkongsi lanjut, kata Tiz lelaki itu merupakan kenalan lama yang dikenalinya sejak kecil. Lelaki yang bakal menjadi suaminya itu bukan individu dalam industri seni, sebaliknya merupakan adik kepada seorang pelakon tempatan.

    “Dia orang taman saya, kami pun kenal dari kecil, darjah satu macam itu. Itu yang saya rasa jodoh tu datang pada waktu paling cantik Allah bagi dekat kita.

    “Dulu cuma kawan, tiada apa-apa perasaan, tapi bila berjumpa semula perasaan itu tiba-tiba hadir. Dia bukan orang industri, tapi adik kepada seorang pelakon,” jelasnya.

    Hubungan mereka juga mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga memandangkan masing-masing sudah saling mengenali sejak sekian lama dan tinggal dalam kawasan kejiranan yang sama. Dia bagaimanapun lebih selesa untuk tidak berkongsi secara terperinci identiti lelaki berkenaan.

    “Keluarga dua-dua belah pihak pun kenal antara satu sama lain dan Alhamdulillah mereka terima hubungan kami ini. Lagipun rumah keluarga pula satu taman, jadi senanglah.

    “Bukan tak nak dedahkan siapa dia, tapi saya risau dengan penyakit ain sekarang. Buat masa ini cukuplah saya kongsikan ini sahaja,” ujarnya.

    Dalam perkembangan lain, Tiz bakal muncul dalam drama terbaharu lakonannya berjudul Impiana Karma yang akan mula bersiaran pada 19 November depan. – Agensi

    Tiz dalam fasa bahagia dan merancang kahwin tahun hadapan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda