Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    TM sasar 1.3 juta pelancong dari Brunei

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Daripada Januari hingga Jun 2024, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 565,999 pelancong Brunei yang tiba di Malaysia di mana ia menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai lima teratas penyumbang ketibaan pelancong dari rantau ASEAN.

    Bagi 2024, Malaysia telah menetapkan sasaran 1.345 juta ketibaan pelancongan dari Brunei dengan sokongan daripada rakan kongsi tempatan, Tourism Malaysia (TM). Dalam hubungan itu, TM telah mengambil bahagian dalam Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, selama dua hari yang berakhir hari ini.

    Semasa perasmian acara itu, kelmarin, petak pameran TM telah dirasmikan bersama oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam yang dilantik, Tuan Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan; Ketua Pegawai Eksekutif Royal Brunei Airlines, Kapten Sabirin Haji Abdul Hamid serta Pengarah TM Brunei Darussalam, Hazrina Azman.

    Pameran TM turut disertai sama oleh ATTANA Hotels & Resorts Sdn Bhd, Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Resorts World Genting, Tropical Charters Sdn Bhd, Novotel Kuala Lumpur City Centre, Lexis Hotel Group, Tamu Hotels & Suites Kuala Lumpur, Hyatt Regency Kinabalu, Labuan Rusukan Besar Resort and Super Park Malaysia.

    Di samping itu, Sarawak Tourism Board dan Sabah Tourism Board juga mengambil bahagian dalam acara berkenaan sebagai pempamer bersama untuk menyediakan maklumat langsung kepada para pengujung ke petak pameran mereka.

    Selain daripada itu, TM juga bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi pelancongan tempatan untuk mempromosikan kolaborasi bersama, Cuti-cuti Malaysia dengan Straits Central Agencies (SCA) dan Bank Baiduri bagi menawarkan pakej-pakej percutian menarik ke Malaysia serta peluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik melalui Kempen Cuti-cuti Malaysia Swipe & Win.

    TM turut berkolaborasi bersama vendor-vendor Malaysia, Freme Travel Services Sdn Bhd dan Pan Bright Travel Services bagi pelanggan yang membuat pembelian bagi penginapan, tiket penerbangan dan pakej percutian di mana-mana negeri di Malaysia bagi mereka untuk layak menerima baucar membeli-belah Parkson bagi early birds.

    Suasana petak TM semasa pesta pelancongan berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda