KOTA KINABALU, 1 Nov – Pandangan dan idea yang dikongsikan melalui program Jelejah Transformasi Nasional 2050 (TN50) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) sangat penting untuk membentuk dasar pelancongan dan kebudayaan negara menjelang 2050, kata Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Beliau berkata pandangan daripada seluruh rakyat termasuk di Sabah dapat memastikan apa juga yang akan dilakukan kerajaan kelak akan mengambil kira tentang kelestarian budaya, warisan dan ekopelancongan di negara ini.
“Segala pendapat dan aspirasi yang dikongsikan melalui program jelajah ini akan dikumpulkan dan dijadikan sebagai tabung idea dan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita sempena program jelajah TN50 MOTAC, di sini, hari ini.
Mas Ermieyati berkata program bertemakan ‘Budaya Tinggi Pelancongan Lestari’ itu bertujuan menjadikan sektor pelancongan dan kebudayaan sebagai penyumbang utama kepada sosioekonomi serta memperkasakan seni, budaya dan warisan.
“Program jelajah TN50 MOTAC ini adalah kali kedua selepas diadakan di Kuala Lumpur pada 17 Okt lepas. Terdapat tiga subtema sepanjang program ini iaitu kebudayaan, pelancongan dan pembangunan model insan,” katanya.
Katanya, jelajah TN50 MOTAC ini berkonsepkan sesi dialog yang membincangkan hala tuju TN50 bagi kementerian itu. – Bernama