Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    TNB raih anugerah cemerlang

    KUALA LUMPUR, 31 Julai – Projek Geospatial Information System (GIS) Bahagian Pembahagian, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya merangkul Anugerah Kecemerlangan Geospatial pada Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan ke-8 di sini, baru-baru ini.

    Dalam satu kenyataan hari ini, TNB berkata penyertaan bertajuk ‘Memperkasakan Projek GIS di Bahagian Pembahagian TNB ke Arah ‘Grid Of The Future’ (Grid Masa Depan),’ itu meliputi pelaksanaan sistem untuk dikembangkan sehingga merangkumi lebih 76,000 pencawang dan talian kabel elektrik 1.3 juta kilometer.

    “GIS Pembahagian itu dilancarkan pada tahun lepas bagi membolehkan urusan menganalisis, menyimpan, memanipulasi dan menggambarkan maklumat dalam bentuk spatial (ruang) di atas peta, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan,” kata TNB.

    Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Seri Azizan Ahmad kepada Ketua Projek GIS Distribution, Fazilah Mat Yatim pada simposium PICC yang bertemakan ‘Inovasi Geospatial Ke Arah Wawasan Negara.’

    Acara dwitahunan anjuran kementerian dan Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara (MaCGDI) itu bertujuan mewujudkan satu wadah perkongsian maklumat dan pengalaman melibatkan komuniti geospatial dalam kalangan agensi kerajaan dan swasta di Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda