Tokenize diberi kelulusan beroperasi

KUALA LUMPUR, 3 APRIL – Pengendali bursa aset digital (DAX), Tokenize Malaysia menerima kelulusan penuh daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk beroperasi.

Ini berikutan pengumuman pertama oleh SC pada Jun 2019 yang memberikan kelulusan bersyarat kepada hanya tiga pengendali DAX daripada 23 bursa digital yang memohon.

Tiga pengendali DAX itu ialah Luno Malaysia Sdn Bhd, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd.

Tokenize Malaysia kini boleh menerima pelanggan apabila bursa aset digitalnya telah diiktiraf sebagai platform yang selamat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi Tokenize, Hong Qi Yu berkata tumpuan mereka di Malaysia ialah memastikan platformnya selamat dan menawarkan pengalaman yang mesra pengguna dengan menyediakan panduan yang jelas mengenai pelaburan aset digital di laman web dan aplikasi mudah alih.

“Industri aset digital antara yang terbaik dan industri ini digunakan untuk bekerja dan berkomunikasi dengan berkesan merentasi zon masa dan mengurus pasukan dari jauh,” katanya. – Bernama