LOS ANGELES, 13 Julai – Pegawai bola sepak korup yang bertukar menjadi pemberi maklumat, Chuck Blazer (gambar), sehingga buktinya membantu membongkar skandal rasuah FIFA, meninggal dunia semalam, kata peguamnya.
Blazer, yang digantung seumur hidup daripada semua aktiviti bola sepak bagi kes rasuah pada 2015, bergelut dengan penyakit barah sehingga kematiannya. Dia berusia 72 tahun. Pegawai itu tokoh penting skandal rasuah yang menggegarkan FIFA pada 2015 dan membawa kepada kejatuhan Sepp Blatter.
Namun bagi beberapa tahun Blazer dilihat sebagai lambang gambaran terburuk FIFA ketika era Blatter, menggelapkan jutaan dolar untuk hidup mewah.
Kemewahannya melibatkan sebuah pangsapuri bernilai AS$18,000 sebulan di Trump Tower, New York dan unit berasingan AS$6,000 di bangunan yang sama untuk mengekalkan kedudukannya tidak terjejas.
Blazer mengaku bersalah pada 2013 terhadap dakwaan kegiatan haram, penipuan, pembersihan wang dan menghindarkan cukai sebagai sebahagian daripada rasuah yang berlaku beberapa dekad.
“Chuck merasa sedih dan kesal dengan tindakannya,” kata peguamnya semalam. “Dia menyuarakan kekesalan terhadap bekas konstituennya dan rakan sekerja serta kepada pemain dan peminat yang kecewa dengan sikapnya.”
Ketika FIFA menggantung Blazer pada 2015, dia pada faktanya bekerjasama dengan penyiasat beberapa tahun lebih awal, mendapatkan rakaman peranti dalam mesyuarat bagi menghasilkan kes ke atas pegawai yang rasuah di seluruh dunia. – AFP