Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Dengan matlamat untuk menaburkan bakti kepada masyarakat serta berpegang kepada prinsip berbuat baik, Tokong Cina Bandar Seri Begawan mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Kebajikan yang berlangsung di Hua Ho Manggis Mall, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sumbangan derma kebajikan kepada para tabung serta badan kebajikan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Lau How Teck.
Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo, wakil-wakil tabung dan badan kebajikan serta para jemputan khas.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Tokong Cina Bandar Seri Begawan, Lee Eng Ching menyatakan tujuan utama Tokong Cina adalah berpegang kepada prinsip berbuat baik ialah satu kebahagiaan dan melakukan satu kebaikan setiap hari sebagai asas segala amal usaha mereka.
“Kami sentiasa bersedia untuk membantu golongan yang memerlukan, pada setiap ketika dan kesempatan.”
Beliau menyatakan lagi sempena majlis penyampaian sumbangan berkenaan, pihak Tokong Cina menyumbangkan lebih $54,000 kepada beberapa badan kebajikan termasuk Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim, Tabung Anak-anak Yatim Daerah Brunei-Muara, Tabung Amal Anak-anak Yatim Daerah Belait, Tabung Kebajikan Anak-anak Yatim Daerah Tutong, Tabung Derma Anak-anak Yatim Daerah Temburong, Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Tabung Badan Kebajikan Kebangsaan dan Community Service Centre Seria.
Di samping badan-badan kebajikan berkenaan, Tokong Cina turut menyumbangkan dana pendidikan kepada sembilan buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan; Sekolah Menengah Chung Hua Kuala Belait; Sekolah Menengah Chung Ching, Seria; Sekolah Chung Hwa, Labi; Sekolah Chung Lian, Sungai Liang; Sekolah Chung Hwa Kiudang, Tutong; Sekolah Chung Hwa Tutong; Sekolah Pai Yuek, Temburong; dan Sekolah St Andrew Bandar Seri Begawan.
Pada majlis berkenaan, penyampaian sumbangan derma telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Lau How Teck bersama-sama Lee Eng Ching.
Sumbangan yang dihulurkan berkenaan adalah bagi menjunjung dan merealisasikan hasrat murni Tokong Cina berlandaskan prinsip berbuat baik membawa kegembiraan.