TOKYO, 4 DIS — Gabenor Tokyo, Yuriko Koike hari ini mencadangkan pelaksanaan minggu kerja empat hari seminggu bagi para penjawat awam di ibu negara berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha negara itu untuk menyokong ibu bapa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba sebelum ini menyifatkan kadar kelahiran rendah di Jepun sebagai ‘sangat membimbangkan’ dan berjanji untuk memperkenalkan dasar seperti waktu kerja yang lebih fleksibel.
Bagi memudahkan keseimbangan kerja dan kehidupan untuk ibu bapa, Gabenor Yuriko Koike berhasrat menawarkan pilihan kepada penjawat awam di bawah Kerajaan Metropolitan Tokyo untuk bekerja dalam tempoh minggu kerja yang lebih pendek bermula April.
“Jepun telah lama ketinggalan dalam memperkasa wanita. Mengatasi keadaan ini dan menjadikan masyarakat lebih pelbagai serta makmur adalah kunci kepada masa depan cerah kita,” katanya dalam ucapan dasar kepada dewan perhimpunan.
“Kami akan memulakan sokongan menyeluruh untuk keseimbangan kerja dan kehidupan melalui pengenalan sistem waktu kerja lebih fleksibel, seperti tiga hari cuti seminggu,” tambahnya.
Menurut rancangan tersebut, kakitangan kerajaan, kecuali pekerja syif, akan dibenarkan mengambil cuti sehingga tiga hari seminggu, tetapi masih perlu melengkapkan 155 jam kerja sebulan, kata pegawai dari Kerajaan Metropolitan Tokyo yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pekerja, Sachi Ikegami, kepada AFP hari ini.
Kakitangan yang masih mempunyai anak damit turut diberi pilihan waktu kerja yang lebih fleksibel, termasuk pengurangan waktu kerja harian sehingga dua jam, jelas Ikegami.
Walaupun minggu kerja empat hari masih jarang diamalkan di Jepun, ia semakin mendapat perhatian daripada kerajaan tempatan yang berusaha meningkatkan sokongan kepada golongan ibu bapa. — AFP