Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tokyo catat suhu lebih 35°C

    TOKYO, 27 OGOS – Tokyo mencatatkan rekod baharu dengan suhu mencecah 35 darjah Celsius atau lebih selama 10 hari berturut-turut, menurut jabatan kaji cuaca Jepun hari ini, selepas negara itu berdepan bulan Jun dan Julai paling panas dalam sejarah.

    Pakar sains menjelaskan gelombang haba semakin kerap dan lebih ekstrem di seluruh dunia akibat perubahan iklim berpunca daripada aktiviti manusia dan Jepun juga tidak terkecuali.

    Agensi Meteorologi Jepun berkata ia merupakan kali pertama sejak tinjauan bermula pada 1875 rekod sedemikian dicatatkan, dengan hari ini menandakan hari ke-10 berturut-turut gelombang haba.

    Di jalan-jalan Tokyo, penduduk dan pelancong mengakui mereka bergelut dalam keadaan cuaca panas terik.

    “Sekadar berjalan sebentar di luar sudah cukup membuatkan saya banyak berpeluh,” kata seorang penduduk, Haruka Fujii.

    “Apabila ada urusan di luar, saya cuba berjalan di bawah teduhan bangunan dan menggunakan payung ketika keluar,” katanya lagi.

    Seorang lagi penduduk, Aiko Natsume berkata dia berusaha membiasakan diri dengan cuaca terik itu.

    “Malah saya pergi ke sauna, sebagai cara menyesuaikan diri dengan cuaca panas ini,” ujarnya.

    Sementara itu, sebuah bandar di pulau utara Hokkaido dilanda hujan lebat luar biasa kelmarin, menurut penyiar awam NHK.

    Manakala, di Toyotomi pula mencatatkan jumlah taburan hujan yang bersamaan sebulan purata pada Ogos hanya dalam tempoh 12 jam, menurut laporan berkenaan. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda