Tokyo di peringkat ‘amaran merah’

TOKYO, 15 JULAI – Tokyo kini berada dalam fasa amaran ‘merah’ selepas mencatatkan kadar peningkatan jangkitan kes baharu COVID-19 secara mendadak.

Bagaimanapun, situasi itu tidak bermaksud bahawa ibu negara Jepun itu bakal menutup operasi perniagaan atau menangguhkan sebarang penganjuran majlis, seperti pendirian ketika keadaan darurat diisytiharkan pada April lalu.

Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, berkata kumpulan pakar menjelaskan bahawa situasi semasa jangkitan di bandar itu berada di peringkat terakhir sistem.

“Sistem itu mempunyai empat peringkat dan pakar mengatakan bahawa kita berada di peringkat akhir, bermaksud jangkitan semakin menular,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sekumpulan pakar berpendapat Tokyo merekodkan peningkatan penularan jangkitan dalam kalangan golongan muda, khususnya di kawasan yang mempunyai kehidupan aktif pada waktu malam, selain tempat kerja dan keluarga.

Yuriko Koike ketika bercakap pada sidang media di Pejabat Kerajaan Metropolitan Tokyo, kelmarin. – AFP

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, menarik balik perintah darurat di seluruh negara pada akhir Mei lalu, sebelum pentadbirannya meneliti semula kemungkinan untuk mengembalikan langkah kawalan itu.

Percaturan sedemikian diambil selepas ekonomi negara matahari terbit itu berdepan kemelesetan pertama, sejak 2015.

Bagaimanapun, jumlah kes baharu jangkitan COVID-19 mencatatkan pe-ningkatan selepas darurat ditarik balik, termasuk Tokyo, iaitu pusat penularan wabak berkenaan yang melaporkan 243 kes baharu, minggu lalu.

Setakat hari ini, tujuh pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat COVID-19, namun pihak berkuasa menegaskan bahawa sistem perubatan negara mempunyai keupayaan untuk mengawal jangkitan, berbanding gelombang yang direkodkan pada April lalu. – AFP