Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tokyo guna AI kesan kebakaran, runtuhan bangunan

    TOKYO, 13 OGOS – Tokyo melancarkan sistem kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan kamera beraltitud tinggi bagi mengesan kebakaran dan runtuhan bangunan, bertujuan mempercepatkan tindak balas bencana semasa kejadian gempa bumi kuat.

    Agensi cuaca Jepun minggu lalu mengeluarkan amaran pertama mengenai peningkatan risiko gempa bumi kuat di sepanjang Nakai Trough.

    Sistem yang dipacu AI itu menganalisis rakaman daripada kamera resolusi tinggi, dengan dua kamera dipasang di bangunan kerajaan metropolitan Tokyo dan satu di sebuah jambatan berhampiran Teluk Tokyo serta satu di bahagian barat kawasan metropolitan, lapor agensi berita Kyodo memetik pihak berkuasa tempatan dan pembangun sistem, Hitachi Ltd.

    Sistem itu secara automatik mengenal pasti kebakaran dan runtuhan struktur, menyalurkan maklumat terbabit kepada agensi yang berkaitan seperti polis, jabatan bomba dan  Angkatan Pertahanan Diri Jepun untuk tindak balas yang lebih cepat. Sistem itu beroperasi sepenuhnya sejak Mac.

    Menjelang akhir tahun fiskal yang berakhir pada Mac 2025, dua kamera tambahan akan diaktifkan di Tokyo Skytree, memperluas liputan kepada hampir semua 23 kawasan dan sebahagian kawasan barat ibu negara.

    Ia juga mampu mengesan kawasan yang padat dengan struktur rumah kayu, membolehkan pihak berkuasa mengutamakan kawasan berisiko tinggi mengalami kerosakan teruk. – Bernama

    Sebuah rumah kelihatan runtuh di bandar Oosaki, wilayah Kagoshima, selatan Jepun, selepas gempa bumi kuat melanda pada 8 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda