Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tokyo guna AI simulasi letusan Gunung Fuji untuk persiapan bencana

    TOKYO, 29 OGOS – Gunung Fuji tidak pernah meletus sejak 1707. Tetapi untuk Hari Persediaan Bencana Gunung Berapi, pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan video yang dijana kecerdasan buatan (AI) untuk simulasi potensi letusan ganas gunung berapi tersebut.

    Video yang dikeluarkan baru-baru ini kepada 37 juta penduduk di kawasan metropolitan, Tokyo sebagai persiapan menghadapi potensi bencana.

    Video oleh Kerajaan Metropolitan Tokyo ituu memberi amaran bahawa letusan boleh berlaku, “pada bila-bila masa, tanpa amaran,” dengan menggambarkan letusan abu gunung berapi menyelubungi pusat Tokyo sejauh kira-kira 100 kilometer dalam masa beberapa jam dan turut melumpuhkan pengangkutan, mengganggu makanan dan bekalan elektrik serta menyebabkan masalah pernafasan jangka panjang.

    Video itu berakhir dengan mesej: “Kita perlu melengkapkan diri dengan fakta dan bersedia menghadapi bencana dalam kehidupan seharian kita.” Ia juga menunjukkan pantri sebuah keluarga yang dipenuhi dengan makanan dalam tin dan peti pertolongan cemas.

    Kerajaan Tokyo turut mengeluarkan kenyataan bahawa pada masa ini tiada tanda-tanda Fuji meletus. “Simulasi itu direka untuk melengkapkan penduduk dengan pengetahuan tepat dan langkah-langkah persediaan sekiranya berlaku kecemasan,” jelasnya.

    Tetapi video tersebut telah menimbulkan keresahan dan kekeliruan di kalangan sesetengah penduduk.

    “Adakah sebenarnya ada tanda-tanda letusan?” kata Shinichiro Kariya, seorang pekerja hospital berusia 57 tahun. “Mengapa kita sekarang mendengar perkara seperti ‘abu setebal 10 sentimeter boleh jatuh,’ walaupun di Tokyo? Saya tertanya-tanya mengapa ini berlaku secara tiba-tiba.”

    Hiromi Ooki, yang tinggal di Mishima City menghadap Gunung Fuji, berkata dia merancang untuk membeli bekalan kecemasan pada hari berikutnya. “Kuasa alam semula jadi sangat hebat sehingga mungkin lebih baik jika ia sedikit menakutkan kita,” katanya.

    Wakil Kerajaan Metropolitan Tokyo dan Bahagian Pencegahan Bencana Pejabat Kabinet Jepun berkata mereka tidak menerima aduan daripada penduduk Tokyo mengenai video tersebut.

    Profesor Universiti Tokyo dan pakar komunikasi risiko Naoya Sekiya berkata kerajaan telah bertahun-tahun memodelkan senario letusan gunung berapi dan gempa bumi, tetapi menyatakan ia tidak bermakna bahawa Fuji akan pasti meletus.

    “Tiada apa-apa yang berkaitan dengan masa ia akan meletus,” kata Sekiya.

    Jepun sangat terdedah kepada bencana alam kerana iklim dan topografinya dan terkenal dengan perancangan bencana yang teliti merangkumi gempa bumi, taufan, banjir, tanah runtuh dan letusan gunung berapi.

    Agensi Meteorologi Jepun Ogos lalu mengeluarkan ‘nasihat gempa mega’ kali pertamanya selepas gempa bumi kuat melanda pantai tenggara Kyushu.

    Daripada kira-kira 1,500 gunung berapi aktif di dunia, 111 berada di Jepun, yang terletak di lingakaran Ring of Fire Pasifik. Gunung Fuji, puncak tertinggi Jepun, pernah meletus kira-kira setiap 30 tahun tetapi telah tidak aktif sejak abad ke-18. – AP

    Puncak Gunung Fuji dilihat di bandar Fujikawaguchiko, pada Jun 2024. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda