TOKYO, 31 DIS – Tokyo melaporkan lebih 1,300 jangkitan koronavirus baharu hari ini, rekod baharu, tatkala pegawai kerajaan mengingatkan keadaan darurat mungkin diperlukan untuk membendung kes yang meningkat.
Agensi berita Jepun Jiji melaporkan Perdana Menteri Yoshihide Suga telah mengadakan rundingan tergempar dengan menteri-menteri mengenai situasi virus lewat hari ini tetapi tidak menggaris kasar pelan untuk menguatkuasakan mana-mana langkah baharu.
“Trend ini jelasnya meningkat. Saya menganggapnya sebagai amat serius,” beritahu Suga kepada wartawan, tatkala beliau menggesa penduduk supaya memakai penutup mulut dan hidung dan mengelak tempat sesak dan perkumpulan tidak penting.
“Saya sekali lagi mengarahkan menteri supaya memastikan kami menggunakan cuti ini untuk menjamin sistem menyediakan jagaan kesihatan yang mencukupi,” kata beliau. Beliau bercakap selepas ibu negara Jepun melaporkan 1,337 kes baharu, rekod yang jauh melebihi 949 kes sebelumnya pada Sabtu lalu.
“Untuk koronavirus, tidak adanya cuti akhir tahun dan tahun baharu. Pada musim sejuk ini, kami melihat penularan koronavirus dan ia merupakan situasi amat serius,” beritahu gabenor Tokyo Yuriko Koike kepada wartawan. – AFP
