Tuesday, January 28, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tokyo sedia khidmat jagaan kanak-kanak percuma mulai September 2025

    TOKYO, 12 DIS – Gabenor bandar Tokyo mengumumkan rancangan menyediakan khidmat penjagaan anak secara percuma untuk semua kanak-kanak prasekolah mulai September 2025 sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kadar kelahiran yang rendah di Jepun.
     
    Langkah itu bertujuan mengurangkan beban kewangan keluarga dengan memperluaskan dasar penjagaan percuma kepada anak pertama berbanding sebelum ini yang hanya terpakai untuk anak kedua dan seterusnya.
     
    Walaupun banyak negara maju menghadapi kadar kelahiran yang rendah, masalah ini amat kritikal di Jepun yang mana populasi telah menurun selama bertahun-tahun.
     
    “Jepun sedang berhadapan dengan krisis penurunan jumlah kanak-kanak yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan pulih,” kata Gabenor Tokyo, Yuriko Koike ketika mengumumkan rancangan tersebut baru-baru ini.
     
    “Tiada masa untuk berlengah,” tambahnya sambil mengulangi amaran dari Perdana Menteri dan pegawai lain mengenai krisis demografi yang semakin meruncing.
     
    Koike, bercakap semasa sesi temu bual di Bangunan Kerajaan Metropolitan Tokyo pada 8 Julai selepas dipilih semula untuk penggal ketiga dalam pilihan raya gabenor Tokyo. – AFP
    Terdahulu, media Jepun melaporkan bahawa dasar itu yang bakal dilaksanakan di Tokyo, salah satu bandar terbesar di dunia dengan populasi 14 juta orang, merupakan inisiatif pertama seumpamanya di peringkat wilayah di Jepun.
     
    Perkhidmatan penjagaan kanak-kanak awam kini disediakan untuk ibu bapa yang bekerja di Jepun, namun kerajaan pusat merancang untuk memperluaskan akses kepada semua isi rumah.
     
    Koike juga berkata pada awal bulan ini beliau ingin memperkenalkan pilihan bekerja empat hari seminggu untuk kakitangan kerajaan di Tokyo sebagai sebahagian daripada usaha di seluruh negara untuk menggalakkan keibubapaan.
     
    Jepun mempunyai populasi kedua tertua di dunia selepas Monaco, dan peraturan imigresen negara yang agak ketat menyebabkan negara itu menghadapi kekurangan tenaga kerja yang semakin membimbangkan.
     
    Bekas menteri dan penyampai televisyen, Koike, yang telah mentadbir Tokyo sejak 2016, memenangi penggal ketiga pada Julai lalu dengan janji untuk meningkatkan manfaat kebajikan sosial sambil mengakui cabaran yang dihadapi penduduk seperti inflasi. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda