Tolak berswafoto dengan peminat

Tindakan penyanyi Shawn Mendes ‘melarikan diri’ ketika peminat ingin bergambar bersamanya di sebuah pusat membeli-belah Kuala Lumpur mengundang kecaman netizen di laman sosial.

Seorang pengguna Twitter yang memuat naik rakaman video kejadian tersebut baru-baru ini beranggapan penyanyi lagu Senorita itu bersikap kurang mesra terhadap peminatnya sendiri.

Namun menurut individu itu lagi, dia tidak pasti Shawn bertindak sedemikian disebabkan dirinya sememang bersikap sombong atau tidak mahu menarik perhatian orang ramai.

“Ada yang pergi konsert sampai kena scam tiket. Tengoklah Shawn sombong atau dia tak nak tarik perhatian orang ramai. Aku pun tak tahu tapi ini sangat biadab!” tulisnya.

Video tersebut memperlihatkan seorang peminat datang secara mengejut dari belakang Shawn yang ketika itu sedang turun dari eskalator berseorangan.

Tanpa berkata apa-apa, kekasih kepada penyanyi Camila Cabello itu dilihat bergegas pergi apabila peminat itu mengeluarkan telefon bimbit untuk berswafoto dengannya.

Kemunculan Shawn di Malaysia adalah untuk menjayakan konsertnya iaitu Shawn Mendes The Tour Live In Kuala Lumpur yang telah berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini. – Agensi

Ramai netizen beranggapan bahawa Shawn sangat sombong kerana tidak mahu mengambil gambar, namun terdapat juga netizen yang mempertahankan Shawn. – Agensi