Saturday, May 10, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tolak perkahwinan diatur, gadis dikhuatiri dibunuh

    ROM, 30 MEI – Polis di Itali sedang mencari mayat seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang disyaki dibunuh oleh keluarga warga Pakistan selepas menolak perkahwinan yang diatur.

    Ibu bapa gadis itu, seorang bapa saudara dan dua sepupu sedang disiasat atas dakwaan membunuh, kata leftenan kolonel Stefano Bove daripada jabatan polis Caraninieri semalam.

    Kesemua mereka ‘diandaikan terlibat dalam jenayah itu,’ beritahunya kepada wartawan, sementara pegawai sedang menggeledah kawasan ladang untuk mencari gadis yang hilang, Saman Abbas. Bove berkata polis Carabinieri sedang memeriksa ‘telaga, terusan penyaliran dan rumah hijau.’

    Saman Abbas, yang tinggal di bandar utara Novellara, pada tahun lalu memberontak terhadap rancangan keluar-ganya untuk mengahwinkannya dengan seorang sepupu di negara asal mereka.

    Disebabkan masih di bawah umur, dia mendapatkan bantuan daripada perkhidmatan sosial dan pada November berpindah ke sebuah rumah perlindungan. Dia juga melaporkan ibu bapanya kepada polis, namun pada 11 April kembali semula ke pangkuan mereka. Polis telah melancarkan operasi mencarinya sejak 5 Mei, apabila pegawai mengunjungi rumahnya dan tidak menemui sesiapa, sekali gus melancarkan siasatan.

    Pegawai seterusnya mendapati ibu bapa gadis itu telah pulang ke Pakistan tanpanya, dan gambar daripada kamera keselamatan berhampiran menunjukkan pada 29 April, lima orang kelihatan berjalan keluar dari rumah dengan memegang penyodok, batang besi dan baldi, dan kembali selepas dua setengah jam kemudian.

    Polis Carabinieri telah mengenal pasti kelima-lima mereka sebagai ahli keluarga yang disyaki membunuh. Kesemua dipercayai telah pulang ke Pakistan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda