LISBON, 31 Mac – Lelaki di sebalik ukiran patung gangsa bintang bola sepak Portugal dan Real Madrid, Cristiano Ronaldo, berkata penyerang itu menyukai ukirannya namun memintanya untuk menghilangkan kedutan di wajah patung berkenaan.
Emanuel Santos mempertahankan hasil seninya itu yang menerima kritikan terutama di media sosial sejurus didedahkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Madeira kelmarin, yang dinamakan semula dengan nama Ronaldo sebagai penghormatan kepadanya.
Selain daripada rambutnya yang seakan serupa, pengguna media sosial berkata ia langsung tidak menyerupai Ronaldo, malah melabelnya sebagai menakutkan.
Santos mempertahankan hasil kerjanya dan berkata dia tidak menerima sebarang maklum balas negatif dan paling utama daripada bintang bola sepak itu sendiri.
“Saya berpeluang bercakap dengan Cristiano Ronaldo untuk mengetahui apa yang difikirkan dan dia berkata bahawa dia menyukainya,” kata Santos, 40, yang juga lahir di Madeira, kepada stesen radio Portugal, Renascenca.

Namun, Santos mengakui penyerang berbisa itu memintanya melakukan sedikit perubahan sebelum majlis pelancaran.
“Cristiano hanya meminta saya mengubah beberapa kedutan yang membuatkannya nampak lebih tua, membuangnya untuk nampak lebih licin dan gembira,” kata Santos.
Santos bekerja keras mengukir patung berkenaan kerana ia berdasarkan daripada gambar fotografi.
“Membuat patung orang yang terkenal adalah satu cabaran terutama jika mereka tidak ada untuk ukuran diambil,” katanya.
“Semua kerja akan menjadi subjek kritikan, kamu tidak boleh menggembirakan Greek dan Trojan, ukiran patung ialah ukiran, fotokopi adalah fotokopi.”
Ronaldo bersama sekitar lima ribu orang penyokong, perdana menteri dan presiden Portugal kesemuanya hadir di lapangan terbang di Madeira itu.
Selain daripada lapangan terbang dan patung gangsa itu, Ronaldo juga mempunyai sebuah muzium dan patung gangsa sebagai penghormatan kepadanya di Bandar Funchal. – AFP