Minggu lalu, ketika saya menghadiri solat Jumaat di sebuah masjid, fokus saya benar-benar terganggu oleh perbualan beberapa jemaah, khususnya dalam kalangan orang tua, yang rancak bersembang ketika khutbah sedang dibacakan. Walaupun suara mereka tidak terlalu kuat, ia cukup untuk mengalih perhatian dan merosakkan suasana khusyuk dalam masjid.
Sebagai jemaah yang hadir dengan niat ikhlas untuk beribadah dan mendengar nasihat agama, keadaan seperti ini amat mengecewakan.
Khutbah Jumaat bukan sekadar syarat sah solat Jumaat, tetapi sebahagian daripada ibadah yang wajib dihormati. Setiap butir kata khutbah mengandungi peringatan dan pengajaran, namun apabila ada suara bersembang, mesej itu seakan tenggelam dalam gangguan bunyi.
Saya tidak tahu sikap ini datang dari mana, apakah sikap itu satu kebiasaan yang cuba dinormalisasikan atau pun kurang adab?
Lebih mengecewakan, perkara seperti ini bukan kali pertama berlaku. Walaupun telah berkali-kali diingatkan melalui papan tanda dan pengumuman sebelum khutbah bermula, masih ada segelintir jemaah yang kurang peka dan tidak menghormati kemuliaan khutbah.
Saya berharap semua jemaah, tidak kira usia, dapat menjaga adab ketika khutbah dengan berdiam diri dan memberi perhatian sepenuhnya.
Masjid seharusnya menjadi tempat tenang dan damai untuk beribadah dengan khusyuk, bukan untuk berjejak kasih dan bersembang sia-sia.
Jemaah Prihatin







