Setiap kali saya masuk ke gim untuk bersenam, saya dapati sesetengah pengguna tidak menyimpan set dumbel ke tempat asal selepas menggunakannya.
Dari sinilah, kita dapat melihat sejauh mana kesedaran dan tanggungjawab kalangan pengguna di pusat kecergasan tersebut.
Sikap bertanggungjawab dan peka perlu ada dalam kalangan komuniti gim kerana kemudahan itu bukan untuk digunakan seorang malah ia digunakan secara kolektif.
Ketidakpatuhan dalam menyimpan alat gim ke tempat asal oleh pengguna boleh mencetuskan pandangan negatif dalam kalangan individu.
Oleh itu, saya berpendapat agar pihak pengurusan mengambil langkah untuk mengatasi perkara ini seperti memasang tanda amaran visual di seluruh gim untuk mengingatkan pengguna agar menyimpan semula alat mereka setelah digunakan.

Tanda-tanda ini boleh disertakan dengan gambar dan perkataan yang mudah difahami oleh pengguna.
Dengan mengambil langkah-langkah itu, ia akan dapat mencipta persekitaran yang teratur, bersih dan menyenangkan bagi semua pengguna.
Peringatan ini bukan tertakluk pada gim sahaja, malah di mana-mana fasiliti yang kita gunakan bersama contohnya permainan dan bilik air yang disediakan di taman rekreasi, surau di kedai-kedai, kemudahan pengangkutan bas dan sebagainya.
Kemudahan tersebut dibina dengan belanja yang besar dan jika berlaku kerosakan, kita juga yang rugi tidak dapat menggunakannya. Maka, segala inisiatif dalam memberi kemudahan kepada orang awam perlu disokong dan dijaga secara berhemah.
Abang Sado









