BIRMINGHAM, 4 OGOS – Pemain terkenal NFL, Tom Brady telah menjadi pemilik minoriti pasukan bola sepak peringkat kedua Inggeris Birmingham dan mahu membawa mentaliti menang kepada kelab yang berprestasi rendah itu.
Juara Super Bowl tujuh kali itu telah bekerjasama dengan syarikat induk kelab itu, Knighthead Capital Management yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), dan menjadi pengerusi lembaga penasihat baharu, kata Brady dan Birmingham kelmarin.
“Mungkin anda bertanya, ‘Apa yang anda tahu tentang bola sepak Inggeris, Tom?'” kata Brady dalam video kelab. “Baiklah, katakan saya perlu banyak belajar. Tetapi saya tahu beberapa perkara tentang kemenangan.”
Birmingham berkata Brady akan “menggunakan pengalaman kepimpinan dan kepakarannya yang luas merentasi beberapa komponen kelab.” Ini termasuk bekerja bersama jabatan sains sukan untuk menasihati program kesihatan, pemakanan dan pemulihan.
“Birmingham adalah kelab ikonik dengan begitu banyak sejarah dan semangat dan menjadi sebahagian daripada Blues adalah penghormatan sebenar bagi saya,” kata Brady.
Kali terakhir Birmingham bermain di Liga Perdana Inggeris ialah pada 2011, pada tahun yang sama ia memenangi Piala Liga Inggeris, satu daripada dua trofi utama yang pernah ditawan oleh kelab itu dalam sejarah 148 tahunnya.
Brady menyertai beberapa bintang sukan Amerika yang lain untuk melabur dalam kelab bola sepak Inggeris.
Bekas pemain NFL, J.J. Watt baru-baru ini menjadi pelabur minoriti di Burnley, yang baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris, manakala pemain golf PGA Tour Jordan Spieth dan Justin Thomas berkata mereka akan menjadi pemilik minoriti Leeds selepas melabur dalam 49ers Enterprises, yang sedang dalam proses mengambil alih pasukan peringkat kedua itu. – AP