Biarpun sudah menginjak usia 61 tahun, pelakon Tom Cruise dia tidak mempunyai perancangan untuk bersara daripada dunia lakonan, lapor mStar.
Mirror melaporkan bintang Hollywood itu mengambil inspirasi daripada pelakon Indiana Jones iaitu Harrison Ford yang masih berlakon meskipun usianya sudah mencecah 80 tahun.
Tom ketika ditemu bual sewaktu mempromosikan Mission Impossible: Dead Reckoning Part One berkata, dia berharap dapat meneruskan membintangi filem francais popular itu untuk tempoh 20 tahun lagi.
“Harrison Ford adalah seorang lagenda. Saya berharap masih bertahan pada usia itu. Saya mempunyai masa 20 tahun lagi untuk mencapai impian tersebut.
“Saya berharap untuk terus berlakon dalam filem Mission Impossible sehingga umur saya mencecah usia Harrison,” katanya.
Mengulas lanjut tentang filem terbaharunya itu, Tom sempat berkongsi detik indah bersama barisan pelakon dan tenaga produksi sepanjang menjalani penggambaran filem tersebut.
Kata Tom, dia berbangga dengan setiap tenaga kerja yang berjaya mengharungi segala cabaran dalam menghasilkan filem francais popular itu.
“Saya amat berbangga dengan semua orang yang terlibat menjayakan filem ini. Apabila penonton berpuas hati, ia lebih bermakna buat kami semua,” ujarnya. – Agensi
