Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tom Cruise terima Anugerah Oscar Kehormat

    Pelakon Amerika Syarikat, Tom Cruise telah menerima Anugerah Oscar Kehormat pada malam Ahad, iaitu anugerah sulung dalam kerjayanya yang berlangsung selama berdekad-dekad, disambut dengan tepukan gemuruh oleh golongan elit Hollywood.

    Dengan iringan tema lagu Mission Impossible, yang menjadi tanda pengenal kerjaya pelakon berusia 63 tahun itu, Cruise melangkah ke pentas di Dolby Theatre di Los Angeles diiringi sorakan rakan-rakan artis termasuk Colin Farrell dan Emilio Estevez, yang pernah bergandingan dengannya serta pengarah terkenal Steven Spielberg, yang mengarahkannya dalam filem Minority Report dan War of the Worlds.

    Cruise, yang telah dicalonkan untuk Oscar empat kali, tidak pernah memenangi anugerah itu sebelum ini dan meluahkan kecintaannya terhadap dunia perfileman dalam ucapan yang penuh ikhlas.

    Beliau memuji layar perak sebagai tempat yang membangkitkan ‘keinginan untuk pengembaraan, keinginan untuk ilmu, keinginan memahami kemanusiaan, mencipta watak, menceritakan kisah, melihat dunia’.

    Oscar kehormatan yang dianugerahkan setiap tahun oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences, meraikan legenda perfileman atas kerjaya dan sumbangan mereka kepada industri filem.

    Anugerah Cruise disampaikan oleh pengarah filem Mexico, Alejandro Gonzalez Inarritu, yang mengarahkannya dalam filem akan datang Judy.

    “Menulis ucapan empat minit untuk meraikan kerjaya 45 tahun Tom Cruise adalah mustahil,” gurau Inarritu.

    Akademi itu juga menganugerahkan Oscar kehormatan malam itu kepada pelakon Debbie Allen yang membintangi Fame, pereka produksi Wynn Thomas dan penyanyi country Dolly Parton yang dihormati atas kerja kemanusiaannya. – AFP

    Tom Cruise bergambar di atas pentas semasa menerima Governors Awards ke-16 di The Ray Dolby Ballroom, Hollywood, California. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda