LONDON, 18 DIS – Pelakon Top Gun, Tom Cruise telah dianugerahkan penghormatan awam tertinggi dari Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) atas, “sumbangan cemerlang kepada Tentera Laut dan Kor Marin” dengan filem-filem lakonannya.
Cruise, yang telah bekerja di United Kingdom (UK), telah diberikan Anugerah Perkhidmatan Awam Terbilang oleh Setiausaha Tentera Laut AS, Carlos Del Toro dalam satu majlis di Longcross Studios dekat London kelmarin.
Pelakon berusia 62 tahun itu berkata dia berbangga menerima ‘pengiktirafan luar biasa’ yang datang dengan pingat dan sijil berkenaan.
“Saya mengagumi semua askar lelaki dan wanita,” kata Cruise. “Saya tahu dalam kehidupan, sesuatu yang sangat benar kepada saya ialah memimpin adalah untuk berkhidmat. Saya tahu itu pada teras saya dan saya dapat melihatnya dalam semua anggota.”
Tentera laut AS berkata Cruise telah, “meningkatkan kesedaran dan penghargaan orang ramai terhadap kakitangan kami yang terlatih dan pengorbanan yang telah dilakukan semasa berpakaian seragam.”
Top Gun ialah filem hit 1986 mengenai Perang Dingin yang menjadikan Cruise bintang dan turut melonjakkan penyertaan dalam tentera. Tentera Laut malah terpaksa menyediakan meja pendaftaran di teater ketika itu.
Keghairahan diperbaharui dengan filem sekuel 2022 Top Gun: Maverick di mana watak Cruise membimbing generasi baharu penerbang elit.
Tentera laut AS berkata sekuel itu, “membawa nostalgia kepada penonton yang lebih tua dan mencergaskan semula minda ahli penonton yang lebih baharu yang secara berkesan menyasarkan minat penonton yang lebih muda ke dalam set kemahiran dan peluang yang boleh disediakan oleh Tentera Laut.”
Cruise juga dipuji kerana peranannya dalam filem Born on the Fourth of July, A Few Good Men dan Mission: Impossible.
Pengembaraan Cruise seterusnya adalah Mission: Impossible: The Final Reckoning yang akan ditayang pada Mei 2025. – AP