Setelah lama simpan rahsia, pelakon Tom Holland mendedahkan dirinya menghidap penyakit Gangguan Hiperaktif dan Kurang Tumpuan (ADHD) dan disleksia sejak berusia tujuh tahun.
Tom, 29, pelakon watar Spiderman, berkata penyakit yang dihidapi itu menjadi ujian terbesar buatnya semasa di bangku sekolah kerana tidak boleh mengeja dengan lancar seperti kanak-kanak lain.
“Saya berhempas pulas di sekolah dan pencapaian saya kurang memberangsangkan. Tapi ibu bapa saya selalu pesan untuk saya terus berusaha,” katanya.
Malah selepas bergelar pelakon, Tom mengakui dia sentiasa berasa cemas sekiranya perlu membawa watak tanpa bimbingan.
Pun begitu, dia bersyukur apabila kekurangan itu secara tidak langsung melatih dirinya menjadi insan yang lebih baik dan membantu perkembangan kariernya.
“Disleksia membantu saya menjadi pelakon lebih baik kerana mampu meletakkan kreativiti dan gerak hati dalam membawa sesebuah watak.
“Saya percaya golongan seperti saya perlu ruang dan masa yang cukup untuk mendapatkan hasil yang memuaskan,” kongsinya menurut laporan mStar.
Untuk pengetahuan, ADHD merupakan sejenis gangguan perkembangan neurologi yang biasanya menyebabkan seseorang sukar untuk fokus, duduk diam, atau mengawal impuls.
Ia boleh berterusan daripada zaman kanak-kanak hingga dewasa dan setiap individu menunjukkan gejala berbeza. – Agensi


