Pelakon Tom Holland masih belum bersedia untuk menimang cahaya mata bersama teman wanitanya iaitu Zendaya kerana sedang sibuk dengan karier yang sedang berkembang ketika ini.
Bagaimanapun kata Tom, sekiranya dia dan Zendaya memilih mempunyai cahaya mata dia akan menamatkan karier lakonan demi memberi tumpuan kepada keluarga, menurut laporan mStar.
“Kalau saya mempunyai anak, peminat tidak akan melihat saya berlakon dalam mana-mana filem lagi.
“Saya akan mengisi masa saya dengan menjadi seorang ayah dan bermain golf dan meninggalkan dunia seni buat selama-lamanya,” katanya memetik laporan Geo.
Sementara itu, menurut sumber terdekat pasangan itu memberitahu mereka juga tidak merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.
Jelasnya, Zendaya mempunyai beberapa projek besar dan tidak akan mensia-siakan peluang tersebut.
“Mereka mungkin tidak akan berkahwin tahun ini, mereka masih mahu memberi tumpuan kepada karier masing-masing.
“Mereka ingin membeli rumah yang sesuai dan mencipta kenangan bersama dahulu,” kongsinya.
Pada April 2024, media melaporkan Tom berpindah masuk ke kediaman Zendaya kerana enggan berjauhan.
Tom dan Zendaya mula rapat ketika bertemu di set filem Spider-Man: Homecoming pada tahun 2016. Pasangan itu kemudiannya memaklumkan mereka sedang bercinta pada 2021. – Agensi
