Perkongsian isteri kepada pemain dram daripada kumpulan heavy metal Amerika, Tommy Lee iaitu Brittany Furlan mendedahkan suaminya tidak gemar mandi menarik perhatian warga maya.
Memetik laporan mStar, Brittany memberitahu bahawa Lee hanya mandi sekali dalam seminggu serta mengelap badan dengan menggunakan kain sahaja.
“Dia hanya akan lap badan menggunakan kain putih jika berasa melekit. Suami saya mandi seminggu sekali.
“Dia berkata, di Eropah, awda tidak perlu mandi setiap hari,” katanya.
Brittany berkongsi perkara itu ketika muncul dalam podcast bersama Kaitlyn Bristowe pada Rabu.
Isteri pemain dram itu bagaimanapun menyifatkan Lee sebagai seorang yang rapi dan teratur meskipun jarang mandi.
“Suami saya sangat kemas, yang orang tidak jangkakan daripada seorang pemuzik.
“Dia tidak selalu mandi, tetapi dia sangat kemas,” ujarnya.
Sementara itu, rata-rata warganet meluahkan rasa jijik selepas mengetahui tabiat Tommy yang dianggap pengotor itu.
“Saya minta maaf, tetapi itu keterlaluan. Dia perlu mandi setiap hari. “Itu sangat menjijikkan. Dia tidak berbau? Kenapa dia melakukan pengakuan begini? Di mana kemasnya?” komen warga maya. – Agensi