Wednesday, April 16, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tomok mula pengajian sarjana, teruskan menyanyi

    Memulakan pengajian peringkat sarjana sama sekali tidak menghalang penyanyi Tomok untuk terus aktif dalam dunia seni.

    Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 41, berkata bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan dan dia kini perlu bijak menguruskan antara kerjaya dan pendidikan.

    Malah, dia sudah menyusun jadual termasuklah perancangan bagi melancarkan single duet terbaharu bersama penyanyi Siti Nordiana.

    “Tak fikir nak perlahankan kerjaya seni kerana ini adalah mata pencarian saya. Mungkin akan ada masa sibuk, tetapi selalunya jemputan persembahan pada hujung minggu. Jadi saya ada ruang untuk terus aktif.

    “Semuanya berjalan seperti biasa. Sebelum ini semasa pengajian sarjana muda, saya tetap aktif menyanyi.

    “Saya juga sudah siapkan lagu baru bersama Siti Nordiana, tunggu masa yang sesuai untuk lancarkan,” katanya ketika dihubungi mStar kelmarin.

    Tomok sebelum itu berkongsi video dia mula mendaftar sebagai pelajar sarjana di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin.

    Dalam keterujaan kembali ke kampus, Tomok menyedari dia memikul tanggungjawab besar bagi membuktikan impiannya untuk menggenggam ijazah berkenaan tercapai.

    Tomok juga berharap pengalaman dan ilmu ditimba itu kelak dapat memberikan manfaat kepada masyarakat satu hari nanti.

    “Saya menyambung pengajian ini untuk majukan diri. Ini juga merupakan satu tanggungjawab besar untuk dipikul.

    “Selama lebih 20 tahun dalam industri, saya rasa apa yang dibuat ini boleh dikongsi untuk orang ramai,” ujarnya.

    Dalam video yang dikongsi di Instagram miliknya, Tomok ditemani isteri dan tiga anak mereka ketika sesi pendaftaran di universiti berkenaan.

    “Biasanya ayah dan ibu hantar anak-anak. Ini terbalik pula. Insya-Allah saya akan beri yang terbaik,” luahnya. – Agensi

    Tomok kini merupakan salah seorang pelajar di UPSI. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda