Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tomok sasar peroleh ijazah sarjana

    Selepas berjaya menggenggam segulung ijazah tiga tahun lalu, penyanyi Tomok menyimpan hasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana.

    Memetik dari mStar, Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 39, berkata, beliau mahu menunjukkan contoh yang baik buat tiga anaknya supaya mereka turut sama mengikut jejak langkah ke menara gading suatu hari nanti.

    “Satu perasaan yang tidak boleh digambarkan ketika hari konvokesyen di mana saya berada di dalam dewan dan menunggu nama saya dipanggil naik ke atas pentas.

    “Kejayaan ini juga membuatkan saya mula pasang niat untuk sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Saya mahu buktikan umur bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu.

    “Saya juga mahu jadi contoh terbaik buat anak-anak. Saya mahu mereka belajar bersungguh-sungguh dan mengikut jejak langkah saya,” katanya kepada mStar.

    Tomok berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas tamat konsert suku akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

    Vokalis kumpulan New Boys itu merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM).

    Tomok yang menamatkan pengajian selama lima tahun pada 2020 baru sahaja selesai menghadiri majlis konvokesyen yang diadakan di UUM Sintok, Kedah baru-baru ini.

    Dalam pada itu, Tomok berkata, kehidupan berkeluarga turut menjadi pendorong beliau mahu menimba ilmu dengan matlamat untuk memajukan diri sendiri.

    “Ketika muda dahulu mungkin sedikit nakal dan tak fikir nak belajar tinggi. Apabila sudah berkeluarga saya mula berfikir tentang kehidupan.

    “Pada usia sebegini saya berjaya buktikan sesiapa sahaja boleh terus belajar pada tanpa mengira umur atau status pekerjaan.

    “Pendidikan ini sebagai satu jalan memperbaiki diri,” ujarnya. – Agensi

    Tomok bangga dengan pencapain dalam bidang akademik. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda