Sunday, November 17, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tonali sertai Newcastle dengan bayaran £60 juta

    LONDON, 4 JULAI – Newcastle telah mengesahkan penandatanganan pemain tengah AC Milan, Sandro Tonali semalam dengan bayaran dilaporkan berjumlah £60 juta, menjadikan pemain berusia 23 tahun itu sebagai pemain Itali paling mahal.

    Tonali, yang menyertai Milan pada tahun 2020 selepas bermain untuk Brescia, membantu kelab itu meraih gelaran Serie A pertama mereka dalam tempoh 10 tahun pada tahun 2022 dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

    Namun, sokongan kewangan kelab Liga Perdana Inggeris itu sukar ditolak oleh Milan atau Tonali, di mana Newcastle telah membuat pembelian utama pertama semasa jendela perpindahan ini.

    Pasukan Magpies yang dimiliki oleh dana kekayaan kerajaan Arab Saudi akan kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim depan buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

    “Dia adalah pemain yang memiliki bakat yang luar biasa dan mempunyai mentaliti, fizikal dan kemahiran teknikal yang sesuai dengan kami,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe dalam kenyataan kelab.

    Aksi Sandro Tonali cuba merebut bola daripada dirampas oleh pemain Napoli semasa pertemuan di Liga Juara-Juara 13 April lalu.- Xinhua

    “Pada usia 23 tahun, Sandro sudah mempunyai pengalaman penting sebagai pemain utama dalam salah satu liga teratas di Eropah dan dalam Liga Juara-Juara, serta bermain untuk negaranya,” tambah Eddie.

    Tonali, yang telah membuat 15 penampilan untuk Itali, juga merupakan pemain termahal bagi Milan.

    “Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Newcastle United kerana memberikan peluang besar kepada kerjaya saya,” kata Tonali.

    Tonali adalah pemain kedua yang ditandatangani oleh Newcastle dalam jendela perpindahan ini selepas penyerang Gambia, Yankuba Minteh, yang menyertai dari kelab Denmark, Odense, dan kini dipinjamkan ke Feyenoord. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda