Tong kosong selamatkan pemancing

TAWAU, 16 Mei – Tong kosong menyelamatkan dua pemancing selepas bot gentian kaca dinaiki mereka terbalik akibat dibadai ombak di perairan Sungai Tawau dekat sini, semalam.

Shahrul Lizam Rizman dan Azman Abd Rahim yang berpaut pada tong itu selama dua jam, ditemui selamat oleh seorang daripada anggota keluarga mereka yang melakukan pencarian di sekitar perairan Batu 4 dekat sini.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Operasi Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata pihaknya menggerakkan bot peronda pada 6.50 petang selepas menerima maklumat awal berhubung dua lelaki dikhuatiri lemas akibat bot dinaiki untuk memancing dipukul ombak.

Berdasarkan maklumat awal, ketika kejadian tiga lelaki berumur antara 17 hingga 46 tahun dari Kampung Batu 2, keluar memancing pada 5.30 petang.

“Namun ketika bot terbalik, rakan mangsa Samri Sundu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan pantai dan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa, seterusnya pencarian untuk penyelamatan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sekitar 7.19 malam, Mohd Yusri berkata pihaknya menerima maklumat penemuan dua mangsa berkenaan.

“Kedua-duanya hanya mengalami kecederaan ringan pada badan dan pihak maritim membantu mangsa dipindahkan ke dalam bot seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.

Susulan insiden itu, Mohd Yusri menasihatkan orang awam agar peka terhadap perubahan cuaca dan sentiasa memakai jaket keselamatan ketika keluar ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. – Bernama