SAN FRANCISCO – Apa yang mengambil empat tahun untuk dibangunkan dan berharga lebih daripada AS$20,000? Sebuah tong sampah di San Francisco.
Tong sampah mahal itu adalah antara enam tong sampah yang bakal diletakkan di jalan raya San Francisco pada musim panas ini di bandar California Utara, selain timbunan pakaian terpakai, kasut, perabot dan barangan lain yang berselerak di laluan jalan kaki yang ada kalanya tidak dapat dilalui.
Pegawai perbandaran mengupah sebuah firma perindustrian Kawasan Teluk untuk mereka bentuk tong sampah khas itu bersama dua prototaip lain yang menelan kos AS$19,000 dan AS$11,000 setiap satu. Pada musim panas ini, penduduk berpeluang menilai tong berkenaan bersama tiga opsyen lain yang ditambah kepada program perintis selepas pegawai berdepan kritikan.
Bulan lalu, bandar itu menempatkan 15 tong sampah yang ditempah khas dan 11 tong sampah yang sudah sedia ada – masing-masing berharga dari AS$630 hingga AS$2,800 – dengan kod QR dilekatkan pada tong berkenaan meminta penduduk supaya mengisi borang tinjauan. Pegawai perbandaran berkata mereka berhasrat membayar tidak lebih daripada AS$3,000 untuk setiap tong tersebut.
San Francisco mula usaha mencari tong sampah terbaik pada 2018 apabila pegawai memutuskan sudah tiba masanya untuk mengganti lebih daripada 3,000 tong sampah yang telah diletakkan di jalan raya hampir 20 tahun lamanya.
Pegawai berkata tong sampah sekarang mempunyai lubang besar yang memudahkan penyelongkaran. Tong berkenaan juga mempunyai engsel yang perlu dibaiki dengan kerap dan kunci yang mudah dipecah. Sesetengah orang juga menterbalikkannya, menconteng grafiti ataupun membakarnya.
Bandar itu memandang serius mengenai program berkenaan sehingga ia mencipta peta interaktif supaya penduduk boleh menjejak dan menguji reka bentuk berlainan, yang termasuk Soft Square, prototaip paling mahal pada harga AS$20,900.
Bekas keluli tahan karat yang mempunyai pembukaan untuk sampah dan untuk mengitar semula tin dan botol dan juga termasuk pedal kaki.
Jika salah satu tong sampah direka khas itu dipilih, kos untuk menghasilkannya secara besar-besaran akan berharga AS$2,000 hingga AS$3,000 setiap satu, menurut Beth Rubeinstein, jurucakap untuk Jabatan Kerja Raya San Francisco.
“Kami tinggal di bandar yang cantik, dan kami mahu tong sampah berkenaan berfungsi dan kos efektif, namun ia perlu juga cantik,” ujar beliau.
Namun rupa tong sampah baharu berkilat yang nampak cantik masih belum melindunginya daripada perbuatan vandalisme. Tiga minggu selepas diperkenalkan, beberapa tong berkenaan telah pun diconteng dengan grafiti jingga dan putih. Yang lainnya pula menunjukkan kesan kopi atau menarik pelupusan sampah, dengan penduduk meninggalkan kabinet bilik mandi usang dan beg plastik yang penuh dengan botol wain kosong bersebelahan tong sampah tersebut.
Sampah di jalan raya bandar San Francisco telah menjadi satu isu selama beberapa dekad. Pada 2007, Datuk Bandar Gavin Newsom membuang kira-kira 1,500 tong sampah disebabkan menurutnya bekas berkenaan gagal membantu mengekalkan kebersihan jalan dan menjadi tarikan kepada lebih banyak sampah.
Pegawai tidak pasti jumlah tong yang ada di tepi jalan, tetapi bandar itu me-rancang mengganti sekurang-kurangnya 3,000 tong untuk sekarang.
“Sebuah tong sampah adalah salah satu fungsi paling asas sesebuah bandar dan sekiranya bandar tidak mampu melakukan sesuatu semudah ini, bagaimana mereka boleh menyelesaikan isu lebih besar seperti masalah gelandangan, keselamatan dan kemiskinan?” tanya Matt Haney, bekas penyelia yang tinggal di kawasan Tenderloin dan kini mewakili kawasan itu dalam Perhimpunan California.
Tong sampah baharu akan menjadi tambahan terbaharu kepada kempen bandar untuk mengatasi jalan raya kotor. Pada 2014, San Francisco melancarkan program ‘Pit Stop’ di kawasan Tenderloin, pusat pengedaran dadah dan golongan gelandangan di bandar, mendirikan tandas awam mudah alih.
Pada 2018, bandar itu menubuhkan pasukan ‘peronda najis’ yang terdiri daripada enam anggota di tengah permintaan untuk mencuci laluan tepi jalan.
Haney berkata selaku seorang penyelia, dia keberatan bersetuju pada tahun lalu untuk meluluskan program perintis berkenaan meskipun kos tinggi untuk mengelakkan penangguhan.
“Saya fikir kebanyakan orang, termasuk saya, akan mengatakan ganti tong sampah dengan bekas yang kami tahu berfungsi di bandar lain, dan lakukannya.”
Menurut Haney, ‘masalah tong sampah mempunyai elemen rasuah,’ merujuk kepada bekas Pengarah Jabatan Kerja Raya Mohammed Nuru, yang mengaku bersalah pada Januari atas dakwaan menipu.
Nuru memberikan kontrak untuk menyelenggarakan tong sampah di San Francsico kepada sebuah syarikat milik seorang saudara pemaju yang telah mengaku bersalah bersubahat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa persekutuan dalam kes terhadap Nuru.
Selain rasuah, bandar itu juga telah lama menjadi bahan jenaka mengenai masa yang diambil untuk menamatkan projek kerja-kerja awam.
Sistem transit bas di Van Ness Avenue, salah satu infrastruktur utama di bandar itu, akhirnya dibuka pada tahun ini selepas dibina selama 27 tahun. Sistem kereta api bawah tanah baharu yang menghubungkan Chinatown dengan kawasan lain di bandar itu yang memulakan pembinaan pada 2010 sudah ketinggalan empat tahun di belakang jadual. – AP