NUKU’ALOFA, TONGA, 2 FEB – Ketua-ketua pertahanan Australia hari ini berkata sebuah kapal perang yang menghantar bantuan ke Tonga bukan penyebab kepada sekatan pergerakan kerajaan Pasifik yang sebelumnya diisytiharkan bebas koronavirus.
Penduduk di negara pulau terpencil itu bergelut untuk pulih daripada ledakan gunung berapi yang mencetuskan tsunami besar, telah diarahkan untuk berkurung di rumah hari ini selepas dua pekerja pelabuhan diuji positif di bandar Nuku’alofa.
Ia adalah kes komuniti pertama direkodkan di negara yang mempunyai 100,000 penduduk, dengan para pegawai kemudian mengesahkan tiga sekeluarga termasuk dua kanak-kanak juga dijangkiti virus itu dikenakan kuarantin.
Penduduk Tonga sebelumnya bimbang akan kehilangan status bebas virus sejak kapal-kapal asing mula menghantar bantuan kemanusiaan ekoran ledakan 15 Januari lalu.
Australia, New Zealand, AS, China, Perancis, Fiji dan Britain telah menghantar kapal membawa bantuan bekalan termasuk air minuman, kit perubatan dan kelengkapan ketenteraan.
Kapal HMAS Adelaide Australia berlabuh di Nuku’alofa minggu lalu untuk menghantar bekalan, meskipun koronavirus dikesan dalam kalangan krunya.
Penghantaran di luar pesisir adalah tertakluk kepada protokol ‘tidak ada kontak’ dalam usaha untuk mengelak jangkitan, termasuk meninggalkan barangan dalam pengasingan selama tiga hari sebelum diserahkan kepada penduduk Tonga.
Ketua Operasi Pasukan Pertahanan Australia, Leftenan Jeneral Greg Bilton, berkata penularan Nuku’alofa ‘kelihatannya bukan berpunca daripada Adelaide’. – AFP
